Wednesday 29 August 2012

Bahagiakah aku...


       

Setiap manusia pasti mempunyai cita-cita. Kerana dengan cita-cita maka dikatakan dia mempunyai matlamat hidup. Jika ditanya, “apakah cita-cita anda?” Sudah tentu ada yang menjawab, “saya ingin menjadi doktor, saya ingin menjadi peguam, saya ingin menjadi pegawai bank.” Tidak kurang juga jawapan seperti: saya ingin menjadi orang kaya, jutawan atau hartawan dan berbagai-bagai jawapan lagi yang boleh didengari. Semuanya matlamat atau halatuju adalah untuk mendapatkan kebahagiaan.

Pernahkah kita mendengar jawapan, “saya ingin hidup susah, saya mahu habiskan kehidupan ini dalam penderitaan. Tidak sekali-kali. Jika ada pasti ada yang tidak kena dengan ‘mereka’ yang berkata begitu. Sebaliknya semuanya manusia yang waras mahukan kebahagiaan.

Jika ditanya kepada nelayan yang mengharungi lautan, petani yang membanting tulang di tengah bendang, pemandu-pemandu lori yang membelah kedinginan malam. Para pelajar yang bersengkang mata berjaga malam, ahli-ahli korporat yang bertungkus lumus menjayakan projek tanpa letih, pentadbir-pentadbir yang siang malam bermesyuarat demi mesyuarat untuk mencari kemajuan tanpa puas. Apakah tujuan mereka? Pasti untuk mencari bahagia.

Walaupun ada manusia yang tidak faham apakah itu bahagia tetapi mereka tetap mencarinya. Ada yang rasa bahagia sekiranya tercapai segala hasrat. Ada yang merasakan bahagia sekiranya mendapat rumah walaupun kecil, tetapi setelah mendapatnya adakah mereka merasa bahagia, belum tentu. Lalu dicari yang lebih besar, setelah mendapat rumah yang besar, adakah mereka bahagia. Belum pasti. Maka dicari pula istana. Adakah penghuni istana bahagia? Bahagiakah mereka? Tidur lenakah mereka setiap malam? Belum tentu. Bahkan mungkin semakin bertambah banyak masalah. Rupa-rupanya ada rumah kecil, ada rumah besar, ada istana, bahkan ada tiga, empat, lima istana belum tentu kebahagiaan itu dapat kita miliki. Demikianlah seterusnya kehidupan kita. Dimanakah letaknya kebahagiaan? Bagaimanakah mahu menggapai bahagia yang diidam-idamkan?

Firman Allah SWT:


“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati.” (ar-Ra`d: 28).

Ketenangan hati itulah sumber kebahagiaan. Inilah yang dicari-cari oleh setiap orang, walau dimana berada, detik dan ketika. Bukannya pada rumah besar, harta yang bertumpuk, pangkat dan gelaran yang dimiliki. Tetapi kebahagiaan yang hakiki ini bukanlah mudah ditemukan. Semakin dicari semakin jauh, semakin kita mendekat semakin ia menjarak. Jika kita bertemu dan memilikinya pun ia mudah hilang melainkan jika diurus supaya beroperasi dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT.

No comments:

Post a Comment