Kata pujangga,
hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh
tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan.
Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila
dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati
lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.
Mereka yang
pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk
menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah,
masalah baru akan menjelma. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih
pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!
Itu bukan sikap
seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya
(Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci
Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke
akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk
itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang
untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!
Hidup di dunia
ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan
di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.
Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta
untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk
akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang
sementara ini?
CARILAH HATI YANG SEJAHTERA
Dalam hidup yang
sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah
kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah 'syurga dunia'
sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta
berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta
tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin
sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.
Kualiti jiwa yang
rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah
kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad
dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan
penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser,
diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan
fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.
Tanpa ketenangan
tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh
ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya
jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.
Orang miskin yang
sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang
kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus
tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw
melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.
IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN
Ada enam perkara
yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam
perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah
kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan.
Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka
kehidupan juga akan stabil.
Sungguhpun begitu,
dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam
semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya. Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada
pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota
masyarakat.
Begitulah lumrah
dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika
demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup?
Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan
dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat
rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan
itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.
Namun, tanpa iman
segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan
tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan
menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang
banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.
Semua ini akan
mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia
yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya,
yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain.
Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan
kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain
kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!
KUALITI HATI
Mengapa soal hati
sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati
dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi
kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan
kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran
atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan,
adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam
hidup.
Bila hati tidak
berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena
dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan,
keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk
mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut,
makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat
panas disangka air.
Zikrullah
hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara
berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan
melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan
(fikli).
إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: ""Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita."" Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah At-Taubah 9: Ayat ke 40)
No comments:
Post a Comment