Saturday, 8 September 2012

Mengapa Tidak Percaya Sebelum Berjaya?


Sekali sekala, perasaan untuk mengubah diri muncul di celah-celah lamunan. Rasa ingin berubah sama ada daripada segi mental seperti memajukan diri di dalam bidang akademik, membuatkan kita berasa ingin masuk kolej semula. Inspirasi untuk berubah daripada segi material seperti ingin memperoleh kenaikan pangkat atau pendapatan tinggi juga akan menjadikan kita lebih rajin bekerja. Begitu juga, bila keinginan untuk berubah daripada segi spiritual muncul, kita menyimpan iltizam agar diri kita bertukar daripada seseorang yang pemarah kepada seseorang yang penyabar.

Mungkin kita pernah menemui Albert, kawan sekolah yang kita gelar si kepala samseng dahulu, rupa-rupanya sudah menjadi jutawan. Atau terpandang Azman yang dahulunya kaki ponteng di sekolah, kini muncul sebagai seorang motivator di kaca TV. Ataupun, Ee Mei, yang dikenali begitu pemalu di sekolah kini sudah menjadi seorang ahli politik yang begitu petah berucap di Parlimen.

Kejayaan-kejayaan sebilangan daripada mereka di sekeliling kita ini kadangkalanya tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Bila mengingati diri mereka yang dahulunya kita kenal sebagai jahat, culas mahupun pemalu, kita tidak menyangka mereka telah berubah menjadi lebih baik, rajin mahupun petah.

Apabila kita merenung ke dalam diri, kita mungkin terasa mengapakah mereka yang toya di zaman persekolahan dahulu kini sudah menyerlah lebih hebat daripada kita sendiri. Mereka yang di zaman persekolahan dahulu menyanjung atau menghormati kita kerana lebih handal daripada mereka, kini telah mendahului kita dalam maraton kehidupan.

Ke manakah langkah yang hendak dibawa dan selaju manakah larian hendak dicuba bila melihat teman-teman sudah jauh lebih hebat daripada kita? Yang pasti, kita tahu yang kita lebih handal daripada mereka dahulu, tetapi mengapa kini sebaliknya? Roda kehidupan yang berputar mengajar kita apa itu realiti. Justeru, bagaimanakah kita boleh mengutip kekuatan-kekuatan diri yang tercicir di sepanjang lorong kehidupan?

Sebelum memulakan langkah, kita harus menyedari bahawa selama ini kita hanya percayakan sesuatu apabila telah berjaya menggapainya. Sikap inilah yang menjadikan kita terhenti-henti meranduk arus kehidupan. Ibarat berundur setapak setiap kali menapak dua langkah ke hadapan. Puncanya ialah kerana kita tidak percaya sebelum berjaya mencapai sesuatu.

Di zaman persekolahan dahulu, kita berasa alangkah sukarnya untuk lulus PMR kerana terpaksa menghafal matapelajaran untuk tiga tahun iaitu daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga. Kebolehan mengasah pensel dengan pengorek pun harus diketepikan kerana kita perlu belajar mengasah pensel menggunakan pisau agar lorekan di kotak-kotak jawapan objektif dapat dilakukan dengan kemas. Akhirnya kita melangkah ke dewan peperiksaan dengan seribu kegusaran.

Namun, setelah keputusan PMR diumumkan, kita yang tidak begitu rajin, dapat juga kelulusan yang baik, setanding dengan teman-teman lain. Ketika itu, baru kita percaya yang rupa-rupanya kita sepandai rakan-rakan sekelas. Menjelang peperiksaan SPM pun, minda kita memahat perasaan bahawa peperiksaan SPM itu sukar. Namun setelah keputusan peperiksaan diumumkan, kita berjaya juga. Untuk kali kedua di dalam hidup, kita percaya setelah berjaya.

Merentasi kehidupan, kita lalui pelbagai kejayaan yang lain. Mendapat ijazah di universiti, kemudian berkasih dan akhirnya melangkah ke jinjang pelamin adalah di antara kejayaan hidup yang dilalui bagai mimpi. Kita hanya tersedar bahawa ia benar-benar terjadi hanya setelah kita berjaya mengharunginya.

Bagi kaum wanita, kemampuan mengandung dan melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar dipercayai sehinggalah suara bayi sendiri nyaring mengetuk ke gegendang telinga. Bagi kaum lelaki, kejayaan menjadi ayah hanya dimengerti setelah melihat senyuman si kecil.

Jelas sekali, sikap percaya setelah berjaya, sudah kita lalui berkali-kali dalam kehidupan. Apabila kita melalui pola ini secara berkali-kali, mengapa tidak kita ubah pola pemikiran untuk cuba percaya sebelum berjaya? Samada kejayaan itu berbentuk material, emosional mahupun spiritual, sedarilah, seandainya berjuta-juta insan yang lain telah lalui apa yang kita bakal harungi, hampir mustahil kita pula yang akan gagal.

Ada perbezaan di antara mereka yang percaya setelah berjaya atau mereka yang percaya sebelum berjaya. Yang pertama hanya melahirkan manusia tidak apa-apa. Yang kedua melahirkan manusia yang apa-apa.

Salahkah Wanita Tak Tahu Memasak?


Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.

Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.

Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.

Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.

Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.

Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.

Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.

Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.

Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.

Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.

Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.

Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.

Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?

Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.

Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.

Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.

Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.

Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!

Tuesday, 4 September 2012

Untukmu Adam dan Hawa


Adam...

Kau bilang dirimu hebat dan kuat ibarat pahlawan,

Gagah perkasa seperti Badang,

Kau gunakan Hawa sebagai umpan,

Untuk membuktikan kelelakianmu yang hanya temberang.

Hawa...

Kau bangga dengan kecantikan lahiriah yang ada padamu,

Kau sanjung tinggi Adam yang terpikat dengan keindahan rupamu,

Kau tersenyum manis saat Adam melihat lenggok tubuhmu,

Tapi kau marah dan benci bila ada segelintir Adam yang menegurmu.

Adam...

Kadangkala kekacakan yang ada padamu,

Bisa membuat Hawa lemah dan cair ibarat ais terkena api,

Hati yang rapuh mudah luluh dan tunduk pada nafsu,

Jiwa yang halus mudah pula jatuh hati.

Hawa...

Iblis menggunakanmu sebagai umpan untuk memerangkap Adam,

Kau harus ambil kesempatan ini untuk memperdayakan Iblis,

Selamatkanlah Adam dari cengkaman api yang tidak akan terpadam,

Jatuhkanlah musuh Islam dengan akal satumu yang genius.

Adam...

Kata-kata manis nistamu bisa menggoda hati Hawa,

Senyum nakalmu membuatkan Hawa semakin suka,

Lembutmu dalam berkata membuatkan Hawa senang mendekatimu,

Sikap prihatinmu membuat Hawa tergilakan perhatianmu.

Hawa...

Sikapmu yang tidak endah menjadikan Adam berani terhadapmu,

Berani mengambil kesempatan untuk menyentuh maruahmu,

Ketidaktegasanmu membuatkan Adam semakin suka akan dirimu,

Hingga kau pun hanyut dalam dunia cinta palsu.

Adam...

Kau bilang akalmu sembilan mengalahkan nafsumu yang satu,

Gunakanlah akalmu itu untuk mendidik nafsumu yang boleh membinasakan Hawa,

Cerdikkanlah akalmu itu dengan berjihad menentang nafsumu,

Agar Hawa terpelihara sentiasa dalam jagaan taqwa.

Hawa...

Lenggok tubuhmu bisa membuat Adam terpaku dan mata menjadi sepi,

Lembut suaramu bisa mencairkan hati lelaki Adam,

Longgarkanlah pakaianmu agar tubuhmu tertutup rapi,

Tegaskanlah suaramu supaya syaitan tidak berpeluang merasuk Adam.



Oleh itu Adam...

Bersikap tegaslah dengan Hawa dalam setiap urusanmu,

Kau harus kuat dan sabar dalam membimbing Hawa yang semakin liar,

Kau harus teruskan perjuanganmu menentang hawa nafsumu,

Agar nafsu Hawa tidak terus-terusan menular.



Adam...

Hawa meminta agar kau bersikap tegas dan berani,

Supaya Hawa takut untuk menggoda dan mendekati,

Supaya syaitan tidak membisikkan godaan nafsu durjana,

Agar kau bisa menjadi pemimpin dan ketua yang diidami Hawa.



Begitu juga Hawa...

Mahalkanlah senyummu yang bisa menawan hati lelaki,

Jagalah dan peliharalah aurat dan maruah dirimu,

Untuk membentengi nafsu yang sangat dibenci,

Agar kau suci terpelihara saat Adam menyuntingmu.



Hawa...

Adam mudah cair dengan keanggunan wajahmu,

Namun...itu bukanlah yang Adam harapkan,

Adam mengharapkan Hawa yang berpegang teguh pada agama sebagai penyuci kalbu,

Adam juga menginginkan Hawa yang sopan dan memelihara aurat dalam berpakaian.



Untukmu Adam :

Jadilah Adam yang berpendidikan tinggi dalam agama yang bisa membimbing Hawa dari menjadi mangsa godaan syaitan dan nafsu yang boleh membinasakan. Jadilah Adam yang murah dengan kata-kata nasihat dan teguran yang boleh memperbaiki Hawa. Jadilah Adam yang sentiasa berjuang menentang nafsu dan memelihara maruah diri untuk orang tercinta yang sah bergelar isteri. Jadilah juga Adam yang boleh menjadi ketua keluarga, imam dalam solat berjemaah dan pemimpin agama seperti yang diingini oleh Hawa.

Untukmu Hawa :

Jadilah Hawa yang tinggi dengan didikan agama, merendah diri dengan akhlak terpuji dan baik hati. Jadilah Hawa yang menjaga aurat dan maruah diri dari sewenang-wenangnya dilihat ajnabi. Jadilah Hawa yang sentiasa haus akan ilmu nasihat dan teguran sebagai persiapan menjadi Hawa yang solehah untuk seorang yang sah bergelar suami. Jadilah juga seorang Hawa yang bisa menjadi anak, ibu dan isteri yang solehah serta hamba Allah yang beriman dan bertaqwa seperti yang diidamkan oleh Adam.

...Cinta Facebook


Bukan Cinta Jika Asasnya Facebook


Saya hairan bila mana ada orang merendahkan martabat cinta dengan menjualnya di Facebook. Dalam erti kata lain, "Saya boleh menerima cinta di Facebook".

Ini mungkin berlaku bila seseorang yang sudah putus cinta mengwar-warkan perasaan benci dan kesalnya terhadap cinta yang berputik terhadap seseorang. Status in relationship bertukar kepada single.

Lalu wujud seorang lelaki/wanita yang menawarkan diri untuk mendengar masalah lelaki/wanita tersebut. Dan memberi pandangan hanya berdasarkan minda yang mengharapkan dosa pada masa akan datang. Ini padahnya bila meluahkan perasaan melalui Facebook.

Kadang-kadang bila yang memberikan pandangan berwajah kurang handsome/comel, si jejaka/wanita akan berkata, "Sibuk je nak tahu pasal orang". Namun bila mana yang menanyakan soalan agak handsome/comel, dengan sendiri dia akan merendahkan martabat diri dengan membuka aib sendiri.

Sedarkah kalian bahawa WAJAH PROFILE FACEBOOK BOLEH DIMANIPULASI!

Nilai Harga Diri

Adakah begitu rendah martabat cinta kita terhadap orang yang harus dinikahi sehinggakan kita boleh bercinta sekadar melihat wajah seseorang di Facebook atau bermula dengan pop-up chat di Facebook?

Namun bila kita berjumpa, terkejut melihat wajahnya yang ternyata bukan pilihan hati kita. Terus cinta yang berputik di Facebook hilang begitu sahaja. Adakah itu cinta?

Banyak artikel yang menerangkan mengenai ikhtilat diluar syarie. Anda seorang yang berakal, maka nilai setinggi mana nilai diri anda.

Seperti kata-kata Hilal Asyraf, beliau menyatakan di dalam blognya, "Cinta tidak buta".

Martabat cinta begitu tinggi. Jangan rendahkannya sehingga menilai ia buta. Saya memberi contoh, jika anda mencintai seseorang kerana agamanya, adakah bila agama orang tersebut hilang selepas anda mencintainya, adakah anda akan terus mencintainya?

Namun, jika anda tidak menganggap cinta itu buta, anda mencintai seseorang kerana agamanya, maka cinta anda kepadanya akan bertambah dan berkurang sepertimana bertambah dan berkurangnya agamanya.

Atas dasar itu cinta kerana agamanya diperkuatkan lagi dengan hadis yang bermaksud:

"Apabila datang kepada kalian orang yang kalian redha agamanya dan akhlaknya (untuk meminang anda atau wanita dibawah tanggungan anda) maka nikahlahilah lelaki tersebut. Kalau kalian tidak melakukan hal tersebut nescaya akan terjadi fitnah di muka bumi dan terjadi kerosakan yang merata".

[HR Tarmizi & Ibn Majjah]

Bolehkah Perigi Mencari Timba?


Mengubah persepsi manusia bukanlah mudah, lebih-lebih lagi bagi mereka yang telah lama berpegang pada sesuatu adat sehinggakan terlalu sulit untuk mengubahnya berlandaskan syariat.

Mendidik  manusia  tidak semudah  membawa seekor lembu untuk meragut rumput di padang

Pendidikan  berasaskan Islam perlulah diterap bermula dari kecil supaya tidak berlaku kejanggalan yang tidak bertempat apabila syariat diutamakan berbanding dengan budaya turun temurun.

Isu ini seringkali berlaku terutama sekali dalam konteks pencarian jodoh.

Masyarakat kita sering memandang serong kepada wanita yang melamar lelaki sehinggakan terbit peribahasa Melayu yang berbunyi perigi mencari timba yang dicipta khusus untuk wanita yang melamar lelaki.

Golongan "perigi mencari timba" ini seolah-olah dipandang keji dan dianggap seperti telah melakukan kesilapan besar semata-mata kerana adat tanpa melihat dari sudut syariat Islam.

Seolah-olah syariat diketepikan dan adat diutamakan.

Inilah budaya yang merantai pemikiran kita, sehinggakan pelbagai persoalan timbul apabila terdapat pihak yang cuba mengubah persepsi masyarakat. Pelbagai pertanyaan bergelodak di benak apabila persoalan ini diperjelaskan.

"Biar betul ustaz, tak kan perempuan yang datang melamar lelaki."

"Eh, malulah macam ni ustaz."

"Boleh ke buat seperti itu. Nanti apa kata orang."

Saya tidak risau bagi mereka yang ada rupa, digilai oleh ramai lelaki, tapi bagaimana pula mereka yang sekadar cukup-cukup makan, atau bujang terlajak (andalusia).

Tidakkah dianggap 'sial' atau aib oleh masyarakat.

Sudah pasti aib itu bukan sahaja disandang oleh andalusia sebagai individu, tetapi tempiasnya juga terkena kepada keluarganya.

Inilah penghalang utama dan satu-satunya 'musibah' bagi wanita yang hendak melamar lelaki.

Kadang-kadang saya melihat salah satu masalah kita ialah sikap, walhal melihat pada kemampuan, kedudukan serta pendapatan boleh sahaja memiliki atau lebih senang bisa 'memancing' lelaki tetapi masih sukar untuk mendapat pasangan.

Sikap kita pada suatu ketika dahulu yang mungkin agak memilih, mahu cari yang sepadan atau lebih daripada diri.

Mana ada kelas seorang doktor kahwin dengan ustaz, mana padan seorang business women berjaya nikah dengan tukang kebun.

Maka kalian telah membawa fitnah kepada agama.

Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama.

Maka menunggulah dengan penuh hiba si wanita dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting.

Kalau ahli gerakan itu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat janganlah berani bermimpi di siang hari.

PERSEPSI

Mengapa untuk sebuah kebaikan dan kemaslahatan hidup dapat dikalahkan oleh persepsi yang kolot ini?

Persoalannya kembali kepada sikap individu tersebut, apakah dia lebih mengutamakan persepsi atau kebahagiaan hidup yang sejati?

Kita meraih syurga cinta Allah melalui pasangan, bukan kerana fikrah kita sama atau sebagainya. Kebahagiaan adalah dambaan sebuah rumahtangga.

Apakah kita terasa jijik apabila mengetahui Saidatina Khadijah yang datang melamar Baginda s.a.w, hanyalah seorang anak yatim piatu, tiada siapa dan apa-apa di sisi.

Sedangkan kedudukan Khadijah di sisi masyarakat adalah seorang yang berkedudukan, hartawan, ahli perniagaan berjaya, dan dihormati oleh kaum Quraisy.

Beliau menepis persepsi tidak sihat demi mempersunting lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda kemuliaan dan kematangan peribadi. Nafisah binti Munabih menjadi saksi bukti cinta Khadijah kepada insan al-Amin ini.

Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan Khadijah?

"Saya teramat sedih ustaz. Kami dah bertunang, memang dah nak kahwin tetapi tiba-tiba putus di tengah jalan," rintih seorang wanita mengenang nasib malangnya.

Malah lebih parah lagi masalah bertunang dan kemudian terputus sebelum diijab-qabulkan ini berlaku berulang kali dan kesannya menimbulkan ketakutan kepada mereka untuk terus mencuba lagi.

Bak kata pepatah, luka di tangan nampak darahnya, luka di hati siapakah yang tahu betapa parahnya ia.

Para ulama' bersetuju bahawa jodoh ialah salah satu qada' ketentuan Allah Taala seperti rezeki dan ajal seseorang hamba.

Semuanya itu termaktub sejak azali lagi.

Namun kita tidak boleh berserah bulat-bulat hingga terkulat, apabila sampai suatu masa kita telah berputus asa dan mengatakan ini adalah takdir Ilahi. Apakah kita tahu itu ialah takdir Ilahi?

Maka sebab kita tidak tahulah kita masih mempunyai satu lagi talian hayat, iaitu ikhtiar.

IKHTIAR, USAHA

Manusia diberi hak seluas-luasnya untuk berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa.

Kita teringin makan sesuatu yang enak, tapi bolehkah ia hadir tanpa kita berusaha seperti gigih bekerja untuk mencari duit yang halal sebelum memiliki makanan yang enak tadi.

Maka usaha itulah yang akan menjadi penentu pada ketentuan takdir Ilahi.

Kalau tidak, kalian tidak ubah seperti Mat Jenin di era moden.

Tidak menjadi kesalahan apabila melihat pada kemaslahatan perempuan memulakan dahulu, soal jodoh selagi mana ia tidak menyalahi syara' maka dihalalkan dalam Islam, bahkan amat digalakkan.

Hendaklah difahami sejelasnya, Islam tidak pernah meletakkan bebanan ke atas bahu lelaki sahaja untuk memulakan terlebih dahulu dalam persoalan mencari jodoh.

Buang jauh-jauh persepsi dangkal terhadap peribahasa Melayu; "perigi mencari timba" atau "langkah bendul", dalam Islam ia masih terjaga dan tidak mengaibkan.

BERUSAHA MENCARI KEBAIKAN DAN REDHA ALLAH

Pernah suatu ketika, telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang wanita arab menyatakan hasrat secara terus terang tanpa perantaraan untuk bersuamikan Rasulullah s.a.w.

Tapi baginda s.a.w menolak dengan cara baik dan Baginda s.a.w sendiri yang tolong mencarikan suami buat wanita itu dari kalangan para sahabatnya dan mereka kemudian hidup dalam rumahtangga yang bahagia.

Bagaimanapun haruslah diingatkan bahawa, wanita yang ingin menggunakan kaedah ini untuk mendekatkan jodohnya perlu menyedari hakikat sopan santun dan tidak melampaui batas hukum syara' yang menjadi benteng terpelihara.

Mereka perlu berwaspada agar tindakan itu tidak menjejaskan maruah dan harga diri di mata masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai agama dan adat.

Tujuannya mesti jujur dan hendaklah mendekati lelaki dengan niat yang benar-benar untuk dibuat suami.

Tidak perlulah bercinta dulu, atau mahu mengenal hati budi masing-masing. Apabila sudah serasi, aturlah masjlis perkahwinan secepat mungkin.

BERDOA

Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi.

Doa adalah senjata orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.

Biarlah malu kita bersalut iman dan bertempat.

Wanita mudah mendapat fitnah ketika bujang berbanding apabila telah berumahtangga, mencari sesuatu kebaikan amat dianjurkan dalam Islam.

Jangan salahkan takdir andai kita sendiri silap membuat perhitungan.

Kalian masih diberi peluang untuk membuat pilihan.

Andai kita mahu ke arah kebaikan dengan usaha yang gigih, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti penat dan hampir berputus asa, tetapi ia hanyalah seketika.

Imbuhannya kalian akan mendapat kebaikan yang abadi. InsyaAllah, yang penting berusaha dan kemudian bertawakkal.

Monday, 3 September 2012

Inilah kisah cinta Salman al-Farisi....


Pernah dengar nama Salman al-Farisi? salah seorang sahabat Rasulullah.. mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk mencari agama yang benar, agama Islam.. sebagaimana kisah beliau dalam mencari kebenaran dalam agama, kesungguhan dan ketabahan beliau, sehinggalah menemukan agama Islam sebagai agama benar..begitu jugalah hebatnya kisah cinta Salman al-Farisi..

Inilah kisah cinta Salman al-Farisi....

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama. Dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pemuda di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi... penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah... alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.


“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakanda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua.. sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

Subhanallah... jelaslah wanita solehah itu hanya memilih Abu Darda’ sebagai pasangan hidupnya berbanding hajat asal datang daripada Salman al-Farisi. Bayangkan andai kita berada di posisi Salman al-Farisi, mungkin kita telah menyalahkan diri kerana telah tersilap membawa pendamping, teman bicara. Namun lain pula jawapan Salman al-Farisi;

“Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap roh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

Begitulah jawapan Salman al-Farisi. Subhanallah, begitu kagum dan ta'ajubnya saya ketika membaca kisah cinta beliau. Reaksinya yang begitu bersahaja sudah menunjukkan yang beliau adalah pencinta sejati. Akur akan ketentuan Allah swt. Sejatinya bukan kerana beliau adalah sahabat Rasulullah, tetapi rahmat dan kasih sayang Ilahi yang sentiasa menemani sekeping hatinya untuk terus MEMBERI...teringat saya akan satu ayat ni. MEMBERI itu tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimiliki, tidak haloba dengan apa yang tiada..

Salman al-Farisi yang begitu setia dan utama disisi Rasulullah juga diuji sedemikian hebat apabila cintanya ditolak oleh gadis solehah idamannnya. Dan yang lebih mengejutkan lagi, sahabat baiknya yang pada mulanya dijadikan 'teman bicara' untuk meminang pula yang menjadi pilihan si gadis solehah.

Dan bagaimana pula reaksi jika kita meletakkan diri kita ditempat dan situasi Salman al-Farisi? mampukah kita memberi dan membenarkan segalanya dengan keikhlasan?? sudah pasti akan timbul sedikit rasa marah pada mulanya dan diikuti rasa terkilan. Tapi berbezanya dengan Salman al-Farisi. Beliau begitu kuat menerima setiap ketentuan Illahi dengan penuh rasa syukur dan redha. Baginya, satu pekerjaan yang besar lagi mulia adalah dengan MEMBERI...

Kisah beliau mengajar kita bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah swt. Yang Maha mngetahui tentang sesuatu yang tidak kita ketahui..

Cinta Dalam Diam


Bila belum bersedia melangkah lebih jauh dengan seseorang, cukup cintai ia dalam diam ...
Kerana diammu adalah salah satu bukti cintamu padanya ...
Kau ingin memuliakan dia, dengan tidak mengajaknya menjalin hubungan yang terlarang,
Kau tak mau merosak kesucian dan penjagaan hatinya..

Kerana diammu memuliakan kesucian diri dan hatimu..
Menghindarkan dirimu dari hal-hal yang akan merosak izzah dan iffahmu ..

Kerana diammu bukti kesetiaanmu padanya ..
Kerana mungkin saja orang yang kau cinta adalah juga orang yang telah ALLAH swt pilihkan untukmu ...

Ingatkah kalian tentang kisah Fatimah dan Ali??
Yang keduanya saling memendam apa yang mereka rasakan ...
Tapi pada akhirnya mereka dipertemukan dalam ikatan suci nan indah ....

Kerana dalam diammu tersimpan kekuatan ... kekuatan harapan ...
Hingga mungkin saja Allah akan membuat harapan itu menjadi nyata hingga cintamu yang diam itu dapat berbicara dalam kehidupan nyata ...
Bukankah Allah tak akan pernah memutuskan harapan hamba yang berharap pada-Nya??

Dan jika memang 'Cinta Dalam Diammu'  itu tak memiliki kesempatan untuk berbicara di dunia nyata, biarkan ia tetap diam ...

Jika dia memang bukan milikmu, Allah, melalui waktu akan menghapus 'Cinta Dalam Diammu' itu dengan memberi rasa yang lebih indah dan orang yang tepat ...

Biarkan 'Cinta Dalam Diammu'  itu menjadi memori tersendiri dan sudut hatimu menjadi rahsia antara kau dengan Sang Pemilik hatimu ...

Cintailah ia dalam diam, dari kejauhan, dengan kesederhanaan dan keikhlasan...

Ketika cinta kini hadir tidaklah untuk Yang Maha Mengetahui saat secercah rasa tidak lagi tercipta untuk Yang Maha Pencipta izinkanlah hati bertanya untuk siapa ia muncul dengan tiba-tiba...mungkinkah dengan redha-Nya atau hanya mengundang murka-Nya...

Jika benar cinta itu kerana Allah maka biarkanlah ia mengalir mengikuti aliran Allah kerana hakikatnya ia berhulu dari Allah maka ia pun berhilir hanya kepada Allah..

" Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat kebesaran Allah ." (QS. Adz Dzariyat:49)

" Dan kawinkanlah orang-orang yang sendirian diantara kamu, dan orang-orang yang layak (berkawin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan hamba-hamba sahayamu yang perempuan. Jika mereka miskin Allah akan memampukan mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha luas(pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui. " (QS. An Nuur: 32)

" Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. "  (QS. Ar-Ruum:21)

Tapi jika memang kelemahan masih nyata dipelupuk mata maka bersabarlah... berdo'alah... berpuasalah...

" Wahai kaum pemuda, siapa saja diantara kamu yang sudah sanggup untuk menikah, maka menikahlah, sesungguhnya menikah itu memelihara mata, dan memelihara kemaluan, maka bila diantara kamu belum sanggup untuk menikah, berpuasalah, kerana sesungguhnya puasa tersebut sebagai penahannya " (Hadist) "

" Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. " (QS. Al Israa' :32)

Cukup cintai ia dalam diam...
bukan kerana membenci hadirnya.. .tapi menjaga kesuciannya bukan kerana menghindari dunia... tapi meraih surga-Nya bukan kerana lemah untuk menghadapinya.. .tapi menguatkan jiwa dari godaan syaitan yang begitu halus dan menyelusup..

Cukup cintai ia dari kejauhan...
kerana hadirmu tiada kan mampu menjauhkannya dari cobaan kerana hadirmu hanya akan menggoyahkan iman dan ketenangan kerana hadirmu mungkin saja akan membawa kenelangsaan hati-hati yang terjaga...

Cukup cintai ia dengan kesederhanaan...
memupuknya hanya akan menambah penderitaan menumbuhkan harapan hanya akan mengundang kekecewaan mengharapkan balasan hanya akan membumbui kebahagiaan para syaitan...

Maka cintailah ia dengan keikhlasan...
kerana tentu kisah Fatimah dan Ali bin Abi Thalib diingini oleh hati... tapi sanggupkah jika semua berakhir seperti sejarah cinta Salman Al Farisi...?

"...boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. " (QS. AlBaqarah:216) "

" Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga)" (QS.An Nuur:26) "

Cukup cintai ia dalam diam dari kejauhan dengan kesederhanaan dan keikhlasan...
kerana tiada yang tahu rencana Tuhan... mungkin saja rasa ini ujian yang akan melapuk atau membeku dengan perlahan kerana hati ini begitu mudah untuk dibolak-balikan... serahkankan rasa yang tiada sanggup dijadikan halal itu pada Yang Memberi dan Memilikinya biarkan ia yang mengatur semuanya hingga keindahan itu datang pada waktunya...

" Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga. " (Umar bin Khattab ra.)