Sekali sekala, perasaan untuk mengubah diri muncul di
celah-celah lamunan. Rasa ingin berubah sama ada daripada segi mental seperti
memajukan diri di dalam bidang akademik, membuatkan kita berasa ingin masuk
kolej semula. Inspirasi untuk berubah daripada segi material seperti ingin
memperoleh kenaikan pangkat atau pendapatan tinggi juga akan menjadikan kita
lebih rajin bekerja. Begitu juga, bila keinginan untuk berubah daripada segi
spiritual muncul, kita menyimpan iltizam agar diri kita bertukar daripada
seseorang yang pemarah kepada seseorang yang penyabar.
Mungkin kita pernah menemui Albert, kawan sekolah yang kita
gelar si kepala samseng dahulu, rupa-rupanya sudah menjadi jutawan. Atau
terpandang Azman yang dahulunya kaki ponteng di sekolah, kini muncul sebagai
seorang motivator di kaca TV. Ataupun, Ee Mei, yang dikenali begitu pemalu di
sekolah kini sudah menjadi seorang ahli politik yang begitu petah berucap di
Parlimen.
Kejayaan-kejayaan sebilangan daripada mereka di sekeliling
kita ini kadangkalanya tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Bila mengingati
diri mereka yang dahulunya kita kenal sebagai jahat, culas mahupun pemalu, kita
tidak menyangka mereka telah berubah menjadi lebih baik, rajin mahupun petah.
Apabila kita merenung ke dalam diri, kita mungkin terasa
mengapakah mereka yang toya di zaman persekolahan dahulu kini sudah menyerlah
lebih hebat daripada kita sendiri. Mereka yang di zaman persekolahan dahulu
menyanjung atau menghormati kita kerana lebih handal daripada mereka, kini
telah mendahului kita dalam maraton kehidupan.
Ke manakah langkah yang hendak dibawa dan selaju manakah
larian hendak dicuba bila melihat teman-teman sudah jauh lebih hebat daripada
kita? Yang pasti, kita tahu yang kita lebih handal daripada mereka dahulu,
tetapi mengapa kini sebaliknya? Roda kehidupan yang berputar mengajar kita apa
itu realiti. Justeru, bagaimanakah kita boleh mengutip kekuatan-kekuatan diri
yang tercicir di sepanjang lorong kehidupan?
Sebelum memulakan langkah, kita harus menyedari bahawa
selama ini kita hanya percayakan sesuatu apabila telah berjaya menggapainya.
Sikap inilah yang menjadikan kita terhenti-henti meranduk arus kehidupan.
Ibarat berundur setapak setiap kali menapak dua langkah ke hadapan. Puncanya
ialah kerana kita tidak percaya sebelum berjaya mencapai sesuatu.
Di zaman persekolahan dahulu, kita berasa alangkah sukarnya
untuk lulus PMR kerana terpaksa menghafal matapelajaran untuk tiga tahun iaitu
daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga. Kebolehan mengasah pensel dengan
pengorek pun harus diketepikan kerana kita perlu belajar mengasah pensel
menggunakan pisau agar lorekan di kotak-kotak jawapan objektif dapat dilakukan
dengan kemas. Akhirnya kita melangkah ke dewan peperiksaan dengan seribu
kegusaran.
Namun, setelah keputusan PMR diumumkan, kita yang tidak
begitu rajin, dapat juga kelulusan yang baik, setanding dengan teman-teman
lain. Ketika itu, baru kita percaya yang rupa-rupanya kita sepandai rakan-rakan
sekelas. Menjelang peperiksaan SPM pun, minda kita memahat perasaan bahawa
peperiksaan SPM itu sukar. Namun setelah keputusan peperiksaan diumumkan, kita
berjaya juga. Untuk kali kedua di dalam hidup, kita percaya setelah berjaya.
Merentasi kehidupan, kita lalui pelbagai kejayaan yang lain.
Mendapat ijazah di universiti, kemudian berkasih dan akhirnya melangkah ke
jinjang pelamin adalah di antara kejayaan hidup yang dilalui bagai mimpi. Kita
hanya tersedar bahawa ia benar-benar terjadi hanya setelah kita berjaya
mengharunginya.
Bagi kaum wanita, kemampuan mengandung dan melahirkan anak
adalah sesuatu yang sukar dipercayai sehinggalah suara bayi sendiri nyaring
mengetuk ke gegendang telinga. Bagi kaum lelaki, kejayaan menjadi ayah hanya
dimengerti setelah melihat senyuman si kecil.
Jelas sekali, sikap percaya setelah berjaya, sudah kita
lalui berkali-kali dalam kehidupan. Apabila kita melalui pola ini secara
berkali-kali, mengapa tidak kita ubah pola pemikiran untuk cuba percaya sebelum
berjaya? Samada kejayaan itu berbentuk material, emosional mahupun spiritual,
sedarilah, seandainya berjuta-juta insan yang lain telah lalui apa yang kita
bakal harungi, hampir mustahil kita pula yang akan gagal.
Ada perbezaan di antara mereka yang percaya setelah berjaya
atau mereka yang percaya sebelum berjaya. Yang pertama hanya melahirkan manusia
tidak apa-apa. Yang kedua melahirkan manusia yang apa-apa.
No comments:
Post a Comment