Maaf
Ungkapan itu mungkin terlalu berat untuk diluahkan. Tak tahulah ego
tahap mana yang meraja dalam diri. Susah sangatkah mahu dibebaskan dari sangkar
hatimu itu? Tepuk dada, tanya iman. Biarkan hati diketuk. Dengan akal sekali
lagi. Moga jernih air yang keruh.
Jangan memilih
siapa dia. Perlukah dimaafkan atau tidak. Kita berukhuwah tanpa mengenal rupa
bukan? Janganlah kerana dia bukan sahabat karibmu, ada hak dalam berukhuwah
yang tak tertunai. Ada juga yang akrab bukan main, tapi oleh kerana satu
kesilapan yang dia lakukan, kita menjauhkan diri.
Cermin diri. Muhasabah. Sempurnakah kita? Tidak. Begitu juga
sahabatmu itu. Daripada mengenang kesilapannya yang cuma satu atau dua, apa
kata kita hargai kebaikan dia yang lebih dari itu? Barulah terasa kemanisannya.
InsyaAllah.
Ya, memberi dan memohon maaf itu salah satu hak dalam bersaudara.
Macam mana nak rasa kemanisan iman kalau urusan semudah itu pun tak selesai?
Excuse me. Semudah itu katamu?
Memang semudah itu kalau yang bertakhta di hati itu iman. Kalau ego
yang menguasai, memanglah payah. Sekali lagi, ketuklah pintu hati dan tanya
padanya siapa pemilik takhta tertingginya. Itu belum lagi sampai pada soalan
yang lebih mencabar. Di mana DIA di hatimu?
Bukankah memaafkan itu bermakna kita berlapang dada dengan apa yang
terjadi dalam sesebuah ukhuwah. Benarlah, berlapang dada itu yang paling asas
sebenarnya dalam tingkatan ukhuwah. Kalau yang asas pun rapuh, bagaimana binaan
ukhuwah tersebut mampu kukuh?
Mengalah Bukan
Bererti Kalah
Tapi benar. Andai dia tidak mahu memaafkan, kamulah yang perlu
mengambil langkah pertama. Ungkapkan kata keramat itu pada dia walaupun hatimu
yang terluka. Leburkan egomu sendiri sebelum meleburkan ego yang lain!
InsyaAllah sedikit sebanyak luka itu akan sembuh perlahan-lahan.
What you give, you get back. Itulah konsepnya. Moga-moga dengan
sikapmu yang berhati mulia itu bisa melembutkan hatinya untuk meminta maaf
kembali. Siapa tahu? Api tak mungkin dipadamkan dengan api bukan? Maka jadilah
air.
Maafkan Dia
Kerana Tidak Meminta Maaf Padamu
Dia masih berkeras hati? Penantian itu satu penyiksaan bukan? Maka
janganlah ditunggu. Kelak memakan diri kerana terlalu lama menunggu. Biarkan
dia. Lepaskan dan bebaskan perasaan resah yang membelenggu jiwamu. Biarkan ia
terbang. Jangan ditunggu kepulangannya. Serahkan
bulat-bulat pada DIA!
Maafkan dirimu. Dan maafkan dia kerana tidak melakukan apa yang kamu
hajatkan. Itulah maaf yang sebenar-benarnya. Manusia kan makhluk Allah yang sangat kompleks? Kita bukan Tuhan
yang mampu membolak-balikkan hati mereka. Bahkan hati sendiri pun belum tentu!
Sibukkan diri dengan perkara lain. Jangan terlalu memberatkan fikiran
dengan sesuatu yang tidak pasti. Utamakan yang lebih utama. Allah kurniakan
pada manusia kemampuan dan pengetahuan yang sangat-sangat terbatas. Kamu tahu
kenapa? Hikmahnya apa? Renung-renungkan. Fikir-fikirkan.
Maaf Itu
Membahagiakan
Kalau kamu benar-benar memaafkan, nescaya berbahagialah kamu. Kelak
bila ungkapan yang sama datang daripada dia, bahagia itu tiada taranya!
Berkali-kali ganda! Dan saat itu, katakan terima kasih padanya, kerana
menjadikan kamu orang yang paling bahagia pada waktu itu. Alhamdulillah.
Sabda baginda
Nabi
Rasulullah s.a.w
bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya
maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat)
tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil
hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan,
diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.
Ambil masa beberapa minit dan muhasabah. Bermula daripada ibu, ayah,
ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, dan
sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam hidup kita walau sekejap cuma. Yang di
depan mahupun di belakang tempat duduk semasa sekolah dahulu. Yang dekat
mahupun jauh terpisah beribu batu. Yang sama-sama berjuang dengan penat lelah
dan jerih payah mahupun yang pernah mencaci dan menghina perjuangan itu.
Mereka tetap manusia seperti kita. Jangan memilih. Ungkapkan kata keramat itu pada mereka
seikhlas hatimu. Walaupun pada mereka yang telah selalu diucapkan. Apatah
lagi pada mereka yang pernah kamu lukakan hatinya sehingga menyebabkan ukhuwah
itu retak. Juga pada mereka yang telah banyak mencurahkan kebaikan padamu.
Kerana ungkapan maaf dan terima kasih yang lahir dari hati itu akan
membahagiakan saudaramu.
Abu Burdah r.a
berkata: Rasulullah mengutus ayahku
iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:
Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan
kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
No comments:
Post a Comment