Saya bertanya kepada emak, "mak mana satu
pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?"
Mak jawab, "dua-dua bukan.."
Saya tercengang. Mak mengukir senyuman.
"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita
kerana Allah.." saya menarik nafas dalam-dalam.
"Macam mana nak tau orang tu sayang kita
kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.
Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain
dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati
dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.
"Yang paling tahu hanya Allah.." mak
merenung dalam-dalam wajah anaknya.
"Kerana hanya Allah mampu membaca hati
hambaNya.." mak menyusun ayat-ayatnya.
"Dan keikhlasan kerana Allah itu akan
terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang
tu.."
Saya memintas, "Tak faham.."
Mak menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah..
Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."
Mak menyambung lagi, "Begini, setiap insan
yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin
dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya
tarikan magnet tu.."
Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat
mengesan gelora jiwa muda ini..
Mak menyambung, "Setiap manusia telah Allah
tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.. siapakah
jodohnya itu?" mak berhenti seketika.
Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di
pipi. Emak buat-buat tidak nampak.
"Mak dulu masa muda ada secret admire. Rajin
betul dia hantar surat. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni
tak halal. Mak nak belajar sungguh-sungguh. Lama budak tu tunggu mak. Akhirnya
mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak.
Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta
tu," Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin
berminat dengan kisah lama mak..
"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia
ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak.
Emak ketawa kecil.
"Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi
peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu. Mak takut pada Allah.
Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain. Mak, seperti kakak.." Mak
memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap
rambut di kepala saya.
"Dulu bila di sekolah, mak pelajar pertama
yang bertudung. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak
dengan gelaran mak Aji. Sebab zaman tu hujung 70-an dan awal 80-an tak ramai
lagi yang bertudung betul menutup auratnya. Zaman tudung nipis dan nampak
jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami
semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung
sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.." emak melemparkan
pandangan ke lantai.
"Selepas itu ustazah jumpa kami secara
persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami
teruskan.." sambung emak.
Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam
perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah
juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh
ketika berjuang di sekolah dulu.
"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi
tempat rujukan kawan-kawan mak. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak
kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah
atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau
mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di
muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang
bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan
timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai
anak.." mak menelan air liurnya.
Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami
maksud mak saya.
"Jatuh
cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada
sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta
tu di atas jalan dakwah ni. Tetapi kita kena ingat. Kita tak akan dikahwinkan
dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai. Bercouple
mungkin. Tetapi bukan berkahwin. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh
yang Allah dah tetapkan sejak azali. Dan tak
mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan
dikahwinkan dengannya.."
Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya
kalah bila mendengar hujah emak.
Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil. Dia
tak pernah menzalimi hamba-Nya. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hamba-Nya
ialah diri hamba tu sendiri. Sebabnya hamba itu degil. Dia mahukan yang bukan
haknya dan yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya
memilikinya.
Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling
mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri. Jadi apabila kita
mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki,
kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi,
tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang
lelaki dan seorang perempuan.
Cuba renungkan, kita mengenali seorang insan yang
amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya.
Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain. Tetapi itu
tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus. Kita dan dia sama-sama
mencari redha Allah. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari
redha Allah. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia
tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya," emak berhenti seketika.
Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya
persoalan hati ini.
"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan
berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain.
Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar
pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada
diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita
jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali
yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah
sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi
termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah. Dan apabila kita membenci
seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci
sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata."
"Hati kita ni walaupun dalam dada kita
sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya
Allah yang boleh memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah.
Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk
dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia
menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta
dengan Allah. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan
manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan,
sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin,
hodoh,cacat dan dungu. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah
merasai sahaja yang mampu mengerti."
"Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan
untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang
yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat
yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam
diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan
mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia
bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada
dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat
perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.. Alangkah bertuahnya kamu
kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur,"
sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.
Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan
emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk
mencintai Allah. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni
pada Allah untuk Dia pelihara," emak mengakhiri kata-katanya dengan suara
sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.
shahdu nyer .. :'( ehem2,,cm de experience jew ?? or cm penah sembang jew ?? haha..
ReplyDeletepengalaman...errrr x da kot
ReplyDelete