Izzat mengerutkan dahi memandang teman sebilliknya menumbuk
tendang batang pohon, melepaskan amarahnya.
Pagi tadi bukan main gembira Aliuddin melangkah keluar dari
bilik. Tapi Aliuddin yang berada di hadapannya kini...
"Ali, bangun sembahyang Subuh. Dah lewat ni."
"Diamlah kau. Aku nak sembahyang ke, tak nak ke, kau
peduli apa? Kubur masing-masing."
"Memang la kubur masing-masing. Kalau kubur kita
sekali, bolehlah aku backup kau. Kau tak sembahyang, aku boleh tolong
cover."
Aliuddin menarik selimut lalu memekap mukanya dengan bantal.
Izzat hanya menggeleng-gelengkan kepala.
Suasana menyepi seketika. Hakim menepuk-nepuk bahu Izzat,
mengisyaratkannya supaya ke tepi.
Dia dekat ke tepi Aliuddin lalu menjerit, "Bangun
Subuh!" Aliuddin yang tersentak bangun terduduk dengan matanya terbeliak
bulat.
Melihatkan wajah takut teman sebiliknya itu, Hakim ketawa
mengekek.
"Nasib baik kaki aku sakit. Kalau tak, kau sarapan kaki
aku pagi ni."
Ketuk ketampi tiga ratus kali dan dirotan di kaki. Denda
yang menyebabkan kakinya sakit yang amat.
Denda atas perbuatan memancitkan tiga tayar kereta guru yang
menyagat rambutnya.
Ini bukanlah kali pertama dia didenda dan mungkin bukan yang
terakhir.
Dia cuba bangun dari katil tapi kakinya terasa perit untuk
berdiri. Malah hendak duduk kembali pun dia tak mampu.
Mukanya berkerut menahan kesakitan.
"Kau tak apa-apa ke?" Izzat bertanya.
"Aku nampak macam tak ada apa-apa ke?" Aliuddin
bersuara garang.
Hakim cuba untuk membantu memapah tapi ditangkis keras oleh
Aliuddin.
Dia menguatkan diri untuk melangkah padahal dalam hati
menjerit menahan sakit.
Memang Aliuddin tidaklah sebaik nama yang diberi, namun cara
pengurusan sekolah mengatasi pelajar bermasalah hanya menambahkan lagi dendam
di dada.
Pernahkah guru yang memberi denda itu merasai betapa
sakitnya kaki setelah ketuk ketampi beratus kali?
Di sebalik hukuman-hukuman pihak sekolah, kenapa agaknya
pendekatan yang diambil lebih kepada menghukum pesalah sedangkan fungsi sekolah
ialah memanusiakan manusia?
Esok cuti sekolah bermula.
Sebaik sahaja loceng berbunyi, Aliuddin meluru ke asrama,
mengejar tombol pintu biliknya.
Cepat-cepat dia menukar baju lalu berlari ke tempat
perhentian bas.
Tidak sabar rasanya ingin pulang ke kampung. Di dalam perut
bas, dia mencapai buku komiknya, sekadar membaca melepaskan kebosanan yang mula
menghantui.
Ada sesuatu yang jatuh dari celah-celah muka surat komik
itu. Sepucuk surat.
(I) Isyak, (S) Subuh, (L) Luhur (Zuhur), (A) Asar, (M)
Maghrib
Kalau kita tinggalkan salah satu daripadanya, kita sudah
bukan Islam lagi.
Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah s.w.t. berkata keada
Nabi Muhammad s.a.w., "Aku ambilmu sebagai kekasih.
Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan
amaran kepada umatmu.
Aku buka dadamu dan buangkan dosamu.
Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat.
Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
qiamat.
Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku
kurniakan kepada sesiapa sebelummu.
Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai
suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy.
Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah
dan amar makruf dan nahi munkar.
Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan
semua yang lainnya di bawah panji-panjimu.
Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu)
sembahyang."
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi
Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah
S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah
waktu sembahyang itu.
Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Izzat, Sahabatmu
Bas meluncur laju membelah malam.
Dia melabuhkan pandangannya ke luar tingkap. Pokok-pokok
ketapang di pesisir lebuh raya berbalam. Melambai-lambai gemalai ditiup angin.
Sinar bulan malu-malu menjenguk alam. Debar jantung
tiba-tiba menderas.
Dia menatap semula surat itu. Dibacanya berulang-ulang kali.
Bicara ayat-ayat mengelus jiwanya yang layu.
"Kau ni ada masalah apa? Kalaulah pokok tu ada tangan,
terkulai layu kau dibuatnya."
"Budak-budak tu la..." mulutnya memuncung ke satu
arah.
"Budak-budak mana?" Izzat mencari-cari kelibat
orang.
"Aku jalan-jalan tadi, terdetik dalam hati nak
sembahyang kat masjid.
Elok je aku nak langkah masuk pagar masjid, Si Shukri tu
perli-perli aku. Dia kata dia nak tengok selama mana muka ahli neraka macam aku
ni boleh jadi baik.
Sampai aku habis solat pun dia tak henti-henti lagi
mengumpat aku. Geram betul la!" Satu tumbukan padu dilepaskan.
Daun-daun kering mula berguguran. Menari-nari lalu jatuh
menapak lantai bumi.
"Muka aku ni ada cop neraka ke? Aku jadi jahat pun
salah, jadi baik pun salah."
"Meh sini aku check." Izzat membelek-belek muka
Aliuddin. "Ish..." Aliuddin menepis tangan Izzat, merenung tajam
kawannya itu. "Dia saja main-main kot."
"Kalau main-main, orang takkan sambung dengan mengumpat."
"Biarlah... Bila dia mengumpat kau, kau dapat pahala.
Kau sepatutnya gembira dapat pahala free."
"Pahala free? Kenapa pula?"
"Bila kita mengumpat orang, orang yang diumpat dapat
pahala, kita dapat dosa."
"Owh... ye ke?" Izzat mengangguk.
"Aku dapat pahala?" Aliuddin senyum tersipu-sipu
sambil tangannya memeluk batang pokok.
Izzat hanya menepuk dahi melihat telatahnya.
Berhimpit jerami di balik meranti,
Saying cemara akar terendam,
Kasih bersemi ikhlas di hati,
Menyejuk bara menghilir dendam.
No comments:
Post a Comment