Wednesday, 26 September 2012

Ungkapan Maaf Itu


Maaf

Ungkapan itu mungkin terlalu berat untuk diluahkan. Tak tahulah ego tahap mana yang meraja dalam diri. Susah sangatkah mahu dibebaskan dari sangkar hatimu itu? Tepuk dada, tanya iman. Biarkan hati diketuk. Dengan akal sekali lagi. Moga jernih air yang keruh.

Jangan memilih siapa dia. Perlukah dimaafkan atau tidak. Kita berukhuwah tanpa mengenal rupa bukan? Janganlah kerana dia bukan sahabat karibmu, ada hak dalam berukhuwah yang tak tertunai. Ada juga yang akrab bukan main, tapi oleh kerana satu kesilapan yang dia lakukan, kita menjauhkan diri.

Cermin diri. Muhasabah. Sempurnakah kita? Tidak. Begitu juga sahabatmu itu. Daripada mengenang kesilapannya yang cuma satu atau dua, apa kata kita hargai kebaikan dia yang lebih dari itu? Barulah terasa kemanisannya. InsyaAllah.






Ya, memberi dan memohon maaf itu salah satu hak dalam bersaudara. Macam mana nak rasa kemanisan iman kalau urusan semudah itu pun tak selesai? Excuse me. Semudah itu katamu?

Memang semudah itu kalau yang bertakhta di hati itu iman. Kalau ego yang menguasai, memanglah payah. Sekali lagi, ketuklah pintu hati dan tanya padanya siapa pemilik takhta tertingginya. Itu belum lagi sampai pada soalan yang lebih mencabar. Di mana DIA di hatimu?

Bukankah memaafkan itu bermakna kita berlapang dada dengan apa yang terjadi dalam sesebuah ukhuwah. Benarlah, berlapang dada itu yang paling asas sebenarnya dalam tingkatan ukhuwah. Kalau yang asas pun rapuh, bagaimana binaan ukhuwah tersebut mampu kukuh?

Mengalah Bukan Bererti Kalah

Tapi benar. Andai dia tidak mahu memaafkan, kamulah yang perlu mengambil langkah pertama. Ungkapkan kata keramat itu pada dia walaupun hatimu yang terluka. Leburkan egomu sendiri sebelum meleburkan ego yang lain! InsyaAllah sedikit sebanyak luka itu akan sembuh perlahan-lahan.

What you give, you get back. Itulah konsepnya. Moga-moga dengan sikapmu yang berhati mulia itu bisa melembutkan hatinya untuk meminta maaf kembali. Siapa tahu? Api tak mungkin dipadamkan dengan api bukan? Maka jadilah air.

Maafkan Dia Kerana Tidak Meminta Maaf Padamu

Dia masih berkeras hati? Penantian itu satu penyiksaan bukan? Maka janganlah ditunggu. Kelak memakan diri kerana terlalu lama menunggu. Biarkan dia. Lepaskan dan bebaskan perasaan resah yang membelenggu jiwamu. Biarkan ia terbang. Jangan ditunggu kepulangannya. Serahkan bulat-bulat pada DIA!

Maafkan dirimu. Dan maafkan dia kerana tidak melakukan apa yang kamu hajatkan. Itulah maaf yang sebenar-benarnya. Manusia kan makhluk Allah yang sangat kompleks? Kita bukan Tuhan yang mampu membolak-balikkan hati mereka. Bahkan hati sendiri pun belum tentu!

Sibukkan diri dengan perkara lain. Jangan terlalu memberatkan fikiran dengan sesuatu yang tidak pasti. Utamakan yang lebih utama. Allah kurniakan pada manusia kemampuan dan pengetahuan yang sangat-sangat terbatas. Kamu tahu kenapa? Hikmahnya apa? Renung-renungkan. Fikir-fikirkan.

Maaf Itu Membahagiakan

Kalau kamu benar-benar memaafkan, nescaya berbahagialah kamu. Kelak bila ungkapan yang sama datang daripada dia, bahagia itu tiada taranya! Berkali-kali ganda! Dan saat itu, katakan terima kasih padanya, kerana menjadikan kamu orang yang paling bahagia pada waktu itu. Alhamdulillah.

Sabda baginda Nabi

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.

Ambil masa beberapa minit dan muhasabah. Bermula daripada ibu, ayah, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, dan sesiapa sahaja yang pernah hadir dalam hidup kita walau sekejap cuma. Yang di depan mahupun di belakang tempat duduk semasa sekolah dahulu. Yang dekat mahupun jauh terpisah beribu batu. Yang sama-sama berjuang dengan penat lelah dan jerih payah mahupun yang pernah mencaci dan menghina perjuangan itu.

Mereka tetap manusia seperti kita. Jangan memilih. Ungkapkan kata keramat itu pada mereka seikhlas hatimu. Walaupun pada mereka yang telah selalu diucapkan. Apatah lagi pada mereka yang pernah kamu lukakan hatinya sehingga menyebabkan ukhuwah itu retak. Juga pada mereka yang telah banyak mencurahkan kebaikan padamu. Kerana ungkapan maaf dan terima kasih yang lahir dari hati itu akan membahagiakan saudaramu.

Abu Burdah r.a berkata:  Rasulullah mengutus ayahku iaitu Abu Musa dan Muaz ke Yaman, Nabi berkata:  Mudahkanlah dan janganlah kamu menyukarkan, gembirakanlah dan jangan kamu menyusahkan dan berseia sekatalah kamu.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Monday, 24 September 2012

Kematian Itu Pasti


Setiap insan pasti akan merasai 'mati',
Cuma masanya tak siapa pun pasti,
Kegerunan Izrail mesti dihadapi,
Walaupun diri mendesak ingin melarikan diri,
Tapi, kenapa perlu menghadapi mati?

Dengar sini,
Mati adalah salah satu tanda kekuasaan Ilahi,
Diam di barzakh menunggu saat tibanya hari penghisaban diri,
Ruang rehat bagi mereka yang iman dan taqwa dijadikan pakaian diri,
Tetapi sebaliknya nasib mereka yang sering memungkiri,
Perintah Ilahi.

Jadi,
Buatlah pilihan yang terbaik duhai akhi dan ukhti,
Mana yang lebih kau senangi,
Jika inginkan kebaikan diri,
Bersiap siagalah menghadapi janji Tuhan yang pasti mengunjungi,
Kerana saat tiba kehadirannya kau akan menghadap Ilahi.

Akan tetapi,
Jika kau tetap memilih untuk berfoya-foya lagi,
Maka ingatlah!
Tika sampai waktunya, janji kan ditepati,
Mustahil sekali untukmu kembali ke dunia buat kesekian kali.

Oleh itu,
Bertaubatlah wahai diri-diri,
Yang masih diberi peluang untuk kembali kepada fitrah yang suci.

" Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan) maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka tundakan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka dahulukan."(al-Araf:34)

khas untukmu : hafizah herman... ingatlah kematian itu pasti

Sunday, 23 September 2012

TABAH HADAPI DUGAAN...


Setiap orang akan berhadapan dengan satu keadaan yang memerlukan tahap kesabaran yang amat tinggi untuk dilalui.

Kadang-kadang keadaan yang dihadapi menyebabkan seolah-olah maruah kita tercabar.

Hanya sifat sabar, tabah dan tenang yang mungkin boleh mengawal keadaan sedemikian.

Aku pernah menghadapi saat-saat sebegini, sekiranya tiada sifat sabar, tabah dan tenang, aku yakin aku tidak mampu untuk berhadapan dengan rakan sekeliling sehingga ke hari ini.

Alhamdulillah dengan berkat sikap tersebut dan sokongan kawan-kawan seperjuangan, alhamdulillah aku kini semakin kuat dan semakin bersemangat.

Terima kasih buat kepercayaan rakan seperjuangan yang sentiasa bersamaku.

Insyaallah aku doakan semoga kalian juga akan tabah apabila menghadapi saat sebagaimana yang telah terjadi kepadaku.

Kejadian tersebut menyebabkan aku kini telah kenal siapa kawan yang sebenar dan siapa yang harus aku berhati-hati untuk berhadapannya.

Kadang-kadang gurau senda didepan kita bukanlah satu jaminan dia sahabat kita.

Percayalah walau apa yang terjadi...pahit akan tetap manis akhirnya....

Friday, 21 September 2012

saya sayang dia, kita semua sayang dia, tetapi ALLAH lebih menyayanginya


Al-Fatihah buat sahabat seperjuangan...

Allah Yarhamha nor amirah bt ghazali..
semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para penghuni syurga..amiin..
sesungguhnya bila ajal kita sudah tiba, tidak akan lambat walau sesaat, dan tidak akan awal walau sesaat..semuanya atas ketentuan ALLAH taala..
Allah lebih menyayangimu.. daripadaNYA kita datang, kepadaNYA jualah kita kembali...
takziah buat keluarga Allah Yarhamha..
---------------------------------------------------------------------- 
Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan
Sedih rasanya hati ini bila mngenangkan
Kau sahabatku kau teman sejati

Tulus ikhlasmu luhur budimu bagai tiada pengganti
Senyum tawamu juga katamu menghiburkan kami
Memori indah kita bersama terus bersemadi
Kau sahabatku kau teman sejati

Sudah ditakdirkan kau pergi dulu
Di saat kau masih diperlukan
Tuhan lebih menyayangi dirimu
Ku pasrah diatas kehendak yang Esa

Ya Allah,tempatkannya di tempat yang mulia
Tempat yang kau janjikan nikmat untuk hamba Mu
Sahabatku akan ku teruskan perjuangan ini
Walau ku tahu kau tiada di sisi

Perjuangan kita masih jauh beribu batu
Selagi roh masih di jasad hidup diteruskan
Sedih rasa hati ini mengenangkan dikau
Bagai semalam kau bersama kami

Moga amanlah dan bahagia dikau di sana
Setangkai doa juga Fatehah terus kukirimkan
Moga di sana kau bersama para solehin
Ku sahabatku kau teman sejati

Jumaat/21.09.2012

Saturday, 15 September 2012

Membina Keyakinan Melalui Minda


Manusia kebanyakan lahirnya sama, cuma cara didikannya lain.

Cara didikan sewaktu kecil banyak mempengaruhi kehidupan waktu besar.

Ada juga yang lahirnya dianugerahi oleh Allah pengetahuan dan sifat yang luar biasa

Didikan terus daripada tuhan.

Mutakhir ini, ramai orang yang sudah kehilangan keyakinan diri akibat tersalah cara didikan.

Bukan setakat tiada keyakinan diri, malah tiada juga 'common sense'. Terlalu susah untuk hidup bermasyarakat.

Semasa Kecil

Didikan keyakinan diri semasa kecil sangat penting. Ibu bapa perlu sentiasa memberi peluang kepada anak-anak.

Contohnya memberi peluang untuk anak memberi pandangan dan bercakap walaupun suatu perkara itu tidak bernas.

Itu hanya pandangan dan idea.

Ibu bapa juga jangan terlalu cepat melarang akan sesuatu perkara.

Saya kemukan satu contoh kehidupan di sebuah negara di barat.

Mereka melatih anak-anak mereka sentiasa berani mencuba.

Suatu ketika di taman permainan, seorang anak lingkungan tiga tahun sedang cuba memanjat papan gelongsor sambil diperhatikan oleh kedua ibubapanya.

Tindakan itu bagi anak yang berumur tiga tahun adalah bahaya.

Ibubapa tersebut hanya memberitahu kepada anak tersebut bahawa perkara itu bahaya, tetapi tidak sekali-kali melarang.

Budak itu terus mencuba memanjat sehingga berjaya ke atas.

Sikap melatih anak berani mencuba sangat digalakkan. Ini satu sifat positif yang boleh kita ambil dari barat walaupun mereka banyak juga yang negatifnya.

Malu atau Takut? Kedua-duanya berkaitan keyakinan diri.

Lihat sahaja di IPT mana-mana pun, pelajar-pelajar takut sahaja untuk berjumpa atau menjawab soalan yang diberikan oleh pensyarah dalam kuliah, semua nya kerana takut salah! punca takut salah adalah kerana tiada keyakinan diri.

Ia berlaku dimana-mana sahaja, bukan sahaja di IPT-IPT malah semua tempat. Puncanya semua sama. Tiada keyakinan diri.

Terlalu merisaukan kata orang juga adalah faktor kehilangan keyakinan diri.

Contohnya anda terlalu risaukan kata kawan anda jika anda berpendapat seperti itu dan ini, maka akhirnya anda terus senyap, akhirnya kaku dan beku...

Kelebihan Manusia

Minda manusia boleh menentukan perilaku manusia melalui imaginasi sebelum berlaku perbuatan.

Contohnya seorang pengerusi sebuah majlis yang di arahkan untuk menceriakan dewan, tentu sahaja dia berimaginasi terlebih dahulu keadaan-keadaan yang bakal berlaku dan bagaimana dia bakal menangkap suasana di dewan itu nanti.

Perkara ini semua berkaitan dengan minda dan keyakinan diri, jika setiap hari minda dilatih dan dibasuh dengan perkataan 'TIDAK BOLEH' maka hasilnya tidak boleh juga.

Demikian juga sebaliknya.

Lihat sahaja sejarah tentera islam yang diketuai oleh sultan Muhammad Al-Fateh yang menawan Constantinople (Istanbul).

Beliau sudah pun terlalu lama berimaginasi untuk menawan kota tersebut, setiap hari dengan diiringi solat dan doa beliau menyusun strategi dan sentiasa berimaginasi tentang semua keadaaan yang bakal berlaku.

Ini yang menjadikan beliau hebat.

Begitu juga beberapa pemimpin yang lain.

Cuba Latih Minda Setiap Hari

Oleh itu, apa yang anda imaginasikan pastikan ia positif dan seterusnya anda melakukannya di alam nyata.

Minda manusia sangat hebat. Ibarat seluruh cakerawala yang ada di dalam otak.

Kepantasannya juga mengalahkan komputer yang canggih. Cuma untuk mencapai semua itu, ia memerlukan tuan minda yang sentiasa melatih minda supaya sentiasa positif.

Kepada anda juga, jangan terus suka menghukum dan menyalahi orang yang sedang cuba membina keyakinan diri.

Ia tidaklah dibina dalam tempoh yang singkat, malah ia panjang.

Jadi dalam tempoh yang panjang itu mungkin sahaja berlaku pelbagai kesilapan.

Biasalah, ia adalah proses! kalau terus berjaya bukan manusia namanya itu.

Sentiasalah berlapang dada!

Terus menerus melatih, cuba mencari peluang dimana-mana supaya keyakinan diri itu datang secara lansung semasa mencuba.

Jangan takut salah! Orang yang takut salah adalah orang yang susah untuk berjaya.

Maka berhati-hatilah kerana itu lebih baik.

Salahkah Bila Berubah?


Izzat mengerutkan dahi memandang teman sebilliknya menumbuk tendang batang pohon, melepaskan amarahnya.

Pagi tadi bukan main gembira Aliuddin melangkah keluar dari bilik. Tapi Aliuddin yang berada di hadapannya kini...

"Ali, bangun sembahyang Subuh. Dah lewat ni."

"Diamlah kau. Aku nak sembahyang ke, tak nak ke, kau peduli apa? Kubur masing-masing."

"Memang la kubur masing-masing. Kalau kubur kita sekali, bolehlah aku backup kau. Kau tak sembahyang, aku boleh tolong cover."

Aliuddin menarik selimut lalu memekap mukanya dengan bantal. Izzat hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Suasana menyepi seketika. Hakim menepuk-nepuk bahu Izzat, mengisyaratkannya supaya ke tepi.

Dia dekat ke tepi Aliuddin lalu menjerit, "Bangun Subuh!" Aliuddin yang tersentak bangun terduduk dengan matanya terbeliak bulat.

Melihatkan wajah takut teman sebiliknya itu, Hakim ketawa mengekek.

"Nasib baik kaki aku sakit. Kalau tak, kau sarapan kaki aku pagi ni."

Ketuk ketampi tiga ratus kali dan dirotan di kaki. Denda yang menyebabkan kakinya sakit yang amat.

Denda atas perbuatan memancitkan tiga tayar kereta guru yang menyagat rambutnya.

Ini bukanlah kali pertama dia didenda dan mungkin bukan yang terakhir.

Dia cuba bangun dari katil tapi kakinya terasa perit untuk berdiri. Malah hendak duduk kembali pun dia tak mampu.

Mukanya berkerut menahan kesakitan.

"Kau tak apa-apa ke?" Izzat bertanya.

"Aku nampak macam tak ada apa-apa ke?" Aliuddin bersuara garang.

Hakim cuba untuk membantu memapah tapi ditangkis keras oleh Aliuddin.

Dia menguatkan diri untuk melangkah padahal dalam hati menjerit menahan sakit.

Memang Aliuddin tidaklah sebaik nama yang diberi, namun cara pengurusan sekolah mengatasi pelajar bermasalah hanya menambahkan lagi dendam di dada.

Pernahkah guru yang memberi denda itu merasai betapa sakitnya kaki setelah ketuk ketampi beratus kali?

Di sebalik hukuman-hukuman pihak sekolah, kenapa agaknya pendekatan yang diambil lebih kepada menghukum pesalah sedangkan fungsi sekolah ialah memanusiakan manusia?

Esok cuti sekolah bermula.

Sebaik sahaja loceng berbunyi, Aliuddin meluru ke asrama, mengejar tombol pintu biliknya.

Cepat-cepat dia menukar baju lalu berlari ke tempat perhentian bas.

Tidak sabar rasanya ingin pulang ke kampung. Di dalam perut bas, dia mencapai buku komiknya, sekadar membaca melepaskan kebosanan yang mula menghantui.

Ada sesuatu yang jatuh dari celah-celah muka surat komik itu. Sepucuk surat.

(I) Isyak, (S) Subuh, (L) Luhur (Zuhur), (A) Asar, (M) Maghrib

Kalau kita tinggalkan salah satu daripadanya, kita sudah bukan Islam lagi.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Allah s.w.t. berkata keada Nabi Muhammad s.a.w., "Aku ambilmu sebagai kekasih.

Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu.

Aku buka dadamu dan buangkan dosamu.

Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat.

Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat.

Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu.

Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy.

Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar.

Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu.

Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang."

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu.

Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Izzat, Sahabatmu
Bas meluncur laju membelah malam.

Dia melabuhkan pandangannya ke luar tingkap. Pokok-pokok ketapang di pesisir lebuh raya berbalam. Melambai-lambai gemalai ditiup angin.

Sinar bulan malu-malu menjenguk alam. Debar jantung tiba-tiba menderas.

Dia menatap semula surat itu. Dibacanya berulang-ulang kali. Bicara ayat-ayat mengelus jiwanya yang layu.

"Kau ni ada masalah apa? Kalaulah pokok tu ada tangan, terkulai layu kau dibuatnya."

"Budak-budak tu la..." mulutnya memuncung ke satu arah.

"Budak-budak mana?" Izzat mencari-cari kelibat orang.

"Aku jalan-jalan tadi, terdetik dalam hati nak sembahyang kat masjid.

Elok je aku nak langkah masuk pagar masjid, Si Shukri tu perli-perli aku. Dia kata dia nak tengok selama mana muka ahli neraka macam aku ni boleh jadi baik.

Sampai aku habis solat pun dia tak henti-henti lagi mengumpat aku. Geram betul la!" Satu tumbukan padu dilepaskan.

Daun-daun kering mula berguguran. Menari-nari lalu jatuh menapak lantai bumi.

"Muka aku ni ada cop neraka ke? Aku jadi jahat pun salah, jadi baik pun salah."

"Meh sini aku check." Izzat membelek-belek muka Aliuddin. "Ish..." Aliuddin menepis tangan Izzat, merenung tajam kawannya itu. "Dia saja main-main kot."

"Kalau main-main, orang takkan sambung dengan mengumpat."

"Biarlah... Bila dia mengumpat kau, kau dapat pahala. Kau sepatutnya gembira dapat pahala free."

"Pahala free? Kenapa pula?"

"Bila kita mengumpat orang, orang yang diumpat dapat pahala, kita dapat dosa."

"Owh... ye ke?" Izzat mengangguk.

"Aku dapat pahala?" Aliuddin senyum tersipu-sipu sambil tangannya memeluk batang pokok.

Izzat hanya menepuk dahi melihat telatahnya.

Berhimpit jerami di balik meranti,
Saying cemara akar terendam,
Kasih bersemi ikhlas di hati,
Menyejuk bara menghilir dendam.

Jangan Berputus Asa


"Ah!! Tensionnya!"

"Banyaknya masalah"

"Ada tak orang yang hidup tiada masalah?"

Satu demi satu persoalan mengetuk gegendang telinga saya, jika persoalan-persoalan itu mampu memberi kesan kepada gegendang telinga, pastinya gegendang telinga saya sudah berlubang sekarang! :)

Adakah manusia yang tidak punya masalah?

Bertanya persoalan yang seperti itu, seolah-olah kita bertanya:  Adakah manusia hidup yang tidak bernafas?

Benar. Masalah sudah amat sinonim dengan diri seorang insan kerdil lagi hina bergelar manusia. Sedangkan Nabi dan para sahabat juga dicubit sayang oleh Allah, inikan pula kita manusia biasa...

Persoalannya bukan adakah manusia yang tidak ada masalah tapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi permasalahan yang ada.

Jika kita cuba lari dari masalah percayalah masalah itu tidak akan pergi.

Berhadapanlah dengannya.

"Sebenarnya... Hidup bila tidak ada masalah jadi mendatar, jadi tidak ada kenangan yang hendak dikenang.. Jadi hambar." Sahabat yang saya kasihi melontarkan nasihat.

"Tapi kan bila ada masalah jadi susah hati, jadi sedih..." Saya menyambung.

"Memanglah, mana ada orang ada masalah suka hati je..."

Saya ketawa. Benar, masalah itu menjadikan hati menjadi murung tapi di sebalik kemurungan itu akan terselit pula kebahagiaan.

Apabila masalah itu telah selesai, percayalah kita pasti mampu tersenyum malah tertawa sewaktu mengenangkannya.

Maka,jangan sesekati berkata: "Oh Allah! Aku ada masalah yang besar!" Tapi berkatalah:

"Oh Masalah,  Aku ada Allah yang Maha Besar!"

Allah Pasti Akan Membantu

"Macam mana ni..." Matanya berair, berserta esakan yang perlahan. Hujung tudungnya diambil sedikit buat mengesat air mata yang kian mengalir. Saya gusar. Melihatnya mengalirkan air mata membuat saya tidak keruan.

"Sabar..Sabar.."

Sergahan ustaz tentang hafazan kami membuatkan hati sahabat-sahabat sekelas menjadi kecut. Ah, takut ujian yang diberi tak dapat dijawab dengan baik, takut hafazan tersekat di tengah-tengah.

Memandang sahabat yang sedang menangis itu, entah kenapa secara tiba-tiba saya berasa sedikit tenang, seolah-olah terdengar-dengar janji Allah ;

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa," (Al-Hajj :22)

"Ok, cepat cepat!" Ustaz memanggil.

Sahabat saya nan satu itu ke hadapan, bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Beberapa minit berlalu....

Surah An-Naba' dan An-Naziat berjaya dilepasi.

Berjaya pula dia mendapat 10/10.

Oh Allah, betapa Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu yang berusaha!

Jangan berputus asa

"Saya rasa masalah saya ni dah tak ada jalan penyelesaian dah. Buntu."

Ingatkah kita pada firmanNya ;

"jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Jangan sesekali berputus asa. Masakan Allah menimpakan ujian dengan sia-sia, masakan Allah sengaja membuat kita sakit dan bersedih.

Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya melainkan mati, masakan masalah yang kita hadapi langsung tidak punya jalan penyelesaian.

"Saya dah puas cuba macam-macam, tapi...tapi..begini juga."

Nah, lihat kembali dalam diri.. Segala keputusan yang diambil, adakah dikembalikan kepada Allah. Maksud saya, adakah kita redha, adakah segala keputusan dan tindakan yang kita ambil kita bertawakal kepada Allah atau kita merasa yakin dengan diri kita sendiri?

Hakikatnya...Allah timpakan ujian agar kita memuhasabah diri. Allah beri sakit untuk kita menghapus dosa, Allah beri kesusahan agar kita kembali padaNya.

Jika kita menyombong diri...termasuklah kita dalam kalangan orang yang rugi.

Jika kita tidak kembali pada Allah... Terbengkalailah masalah kita dengan seribu persoalan.

Kembalilah... Allah menantimu.

Berusaha dan kemudian serahkan urusanmu pada Allah.

Sungguh, Dia lebih Mengetahui!

Bangunlah, Bangkitlah, Berdirilah..Walau kamu terasa payah, walau kamu terasa seksa.. Kerana hakikatnya Allah akan membantumu. Pasti! Jangan diragui.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)