Monday, 3 September 2012

Ali bin Abi Talib dan Fatimah Az-Zahra kisah disebalik redha dan sabar


Ali Bin Abi talib waktu itu ingin melamar Fatimah, putri nabi Muhammad SAW. Tapi kerana dia tidak mempunyai duit untuk membeli mahar, maka ia membatalkan niat itu. Ali segera berhijrah untuk bekerja dan mengumpulkan duit. Pada saat Ali sedang bekerja keras, ia mendengar khabar kalau Abu Bakar ternyata melamar Fatimah. Wah, bagaimana agaknya perasaan Ali, wanita yang sudah dia inginkan dilamar oleh seseorang yang ilmu agama nya lebih hebat dari dia.

 Tetapi Ali tetap bekerja dengan giat. Lalu setelah beberapa lama Ali mendengar kabar kalau lamaran Abu Bakar kepada Fatimah ditolak. Ali terpegun dan sedikit bergembira tentunya, kata Ali “wah, saya masih punya kesempatan ”. Setelah mendengar khabar itu, Ali bekerja lebih giat lagi agar cepat mengumpulkan duit dan segera melamar Fatimah. Tapi tak lama setelah itu, Ali mendengar khabar kalau Umar Bin Khatab melamar Fatimah. Wah, sekali lagi Ali mendahulukan orang lain, bagaimana perasaanya? Tapi tak berapa lama Ali mendengar kalau lamaran Umar bin Khatab ditolak. betapa senangnya Ali, mendengar kabar itu. Tapi tak lama kesenangan itu kembali pudar Karena terdengar khabar lagi, ternyata Usman bin Affan melamar Fatimah. ini sudah yang ketiga kalinya, kata Ali “mungkin kali ini diterima. Kalaulah Usman tidak melamar Fatimah secepat ini, InsyaAllah tidak lama lagi saya akan melamar Fatimah, tapi , apa hendak dikata , adakah mahu mengalah Dan sekali lagi, tidak berapa lama dari itu, khabar ditolaknya lamaran Usman bin Affan pun terdengar lagi, betapa bahagianya Ali.




Semangat Ali untuk melamar Fatimah pun berkobar lagi, dan semangat itu didukung oleh sahabat2 Ali. Kata sahabat nya “pergilah Ali, lamar Fatimah sekarang, tunggu apa lagi?? kamu kan sudah bekerja keras selama ini, kamu juga sudah mengumpulkan harta dan cukup untuk membeli mahar. tunggu apa lagi??? Tunggu yang ke4 kalinya??? baik cepat!!!” Dengan segera Ali memberanikan diri untuk menghadap ke Nabi Muhammad S.W.T dengan tujuan melamar Fatimah,LAMARANNYA DITERIMA!!! Oh rupanya : ternyata memang dari dulu Fatimah sudah mempunyai perasaan dengan Ali dan menunggu Ali untuk melamarnya. Begitu juga dengan Ali, dari dulu dia juga sudah mempunyai perasaan dengan Fatimah,. Tapi mereka berdua sabar menyembunyikan perasaan itu sampai saat nya tiba, sampai saatnya ijab Kabul disahkan .



Walaupun Ali sudah merasakan kekecewaan 3 kali mendahulukan orang lain, akhirnya kekecewaan itu terbayar juga. Yup, sekali lagi, kata-kata ini pasti akan muncul dalam benak sahabat2 >>> “Jodoh memang tidak kemana” , dari cerita itu, lebih memperjelaskan lagi bahwa “Cinta itu, mengambil kesempatan , atau mempersilakan yang lain” Cinta adalah hal fitrah yang tentu saja dimiliki oleh setiap orang, namun bagaimanakah membingkai perasaan tersebut agar bukan Cinta yang mengendalikan Diri kita Tetapi Diri kita yang mengendalikan Cinta Mungkin cukup sulit menemukan teladan dalam hal tersebut disekitar kita saat ini Walaupun bukan tidak ada.. barangkali, kita saja yang tidak mengetahuinya Dan inilah kisah dari Khalifah ke-4, Suami dari Putri kesayangan Rasulullah tentang membingkai perasaan dan Bertanggung jawab akan perasaan tersebut “Bukan janji-janji”




Dan ’Ali pun menikahi Fatimah. Dengan menggadaikan baju besinya. Dengan rumah yang semula ingin disumbangkan sahabat2nya tapi Nabi berkeras agar ia membayar bakinya Itu hutang. Dengan keberanian untuk mengorbankan cintanya bagi Abu Bakar, ’Umar, dan Fathimah. Dengan keberanian untuk menikah. Sekarang. Bukan janji-janji dan nanti-nanti. ’Ali adalah gentleman sejati., “Laa fatan illa ‘Aliyyan! Tak ada pemuda kecuali Ali!” Inilah jalan cinta para pejuang. Jalan yang mempertemukan cinta dan semua perasaan dengan tanggungjawab. Dan di sini, cinta tak pernah meminta untuk menanti. Seperti ’Ali. Ia mempersilakan. Atau mengambil kesempatan. Yang pertama adalah pengorbanan. Yang kedua adalah keberanian. 



Dan ternyata tak kurang juga yang dilakukan oleh Putri Sang Nabi, dalam suatu riwayat dikisahkan bahwa suatu hari (setelah mereka menikah) Fathimah berkata kepada ‘Ali, “Maafkan aku, karena sebelum menikah denganmu. Aku pernah satu kali merasakan jatuh cinta pada seorang pemuda” ‘Ali terkejut dan berkata, “kalau begitu mengapa engkau mahu menikah denganku? dan Siapakah pemuda itu” Sambil tersenyum Fathimah berkata, “Ya, karena pemuda itu adalah Dirimu”





Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, "Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?" "Tentu sekali ya Rasulullah," jawab Siti Fatimah kegirangan. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca 'Subhanallah' sepuluh kali, 'Alhamdulillah' sepuluh kali dan 'Allahu Akbar' sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca 'Subhanallah', 'Alhamdulillah' dan 'Allahu Akbar' ini sebanyak tiga puluh tiga kali." 



Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah. Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingati-Nya. Cerita ini adalah dikisahkan menurut penceritaan yang mudah untuk difahami,insyaAllah tegurlah ana jika ada sebarang fakta yang tidak benar... "Jika kamu memelihara dirimu daripada sesuatu perkara yang haram kerana Allah diatas wanita kesukaanmu kerana banyak bersabar , insyaAllah hanya dengan izin Allah akan menghalalkannya kepada mu atas kesabaranmu kerana Allah"

Inilah kisah cinta yang mengajar erti pengorbanan, keikhlasan dan kesabaran.

“Andainya Kau adalah jodohku yang tertulis di Lauh Mahfuz, Allah pasti akan menanamkan rasa kasih dalam hatiku dan hatimu. Itu janji Allah..Akan tetapi selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan dibazirkan perasaan itu kerana kita masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu….”

Sunday, 2 September 2012

Mana Satu Pilihan Hati


Saya bertanya kepada emak, "mak mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau yang kita sayang?"

Mak jawab, "dua-dua bukan.."

Saya tercengang. Mak mengukir senyuman.

"Pilihan hati mak adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." saya menarik nafas dalam-dalam.

"Macam mana nak tau orang tu sayang kita kerana apa?" Mak diam sekejap berfikir dan kemudian tersenyum.

Rasanya mak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari mak sedangkan sekilas saya pun mak mampu membacanya.

"Yang paling tahu hanya Allah.." mak merenung dalam-dalam wajah anaknya.

"Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya.." mak menyusun ayat-ayatnya.

"Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjokan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "Tak faham.."

Mak menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."

Mak menyambung lagi, "Begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi antara seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan magnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika mak dapat mengesan gelora jiwa muda ini..

Mak menyambung, "Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.. siapakah jodohnya itu?" mak berhenti seketika.

Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Emak buat-buat tidak nampak.

"Mak dulu masa muda ada secret admire. Rajin betul dia hantar surat. Masa tu mak dah tahu yang bercinta sebelum kahwin ni tak halal. Mak nak belajar sungguh-sungguh. Lama budak tu tunggu mak. Akhirnya mak bagi kata putus, mak hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami mak. Dan dia memang bukan jodoh mak, maka tak pernah dia menerima balasan cinta tu," Mak merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada emak, semakin berminat dengan kisah lama mak..

"Mak memang tak ada perasaan lansung pada dia ke?" saya menyoal sambil memandang tajam wajah mak.

Emak ketawa kecil.

"Walaupun mungkin ada, mak tak pernah bagi peluang pada diri mak untuk mengisytiharkan perasaan tu. Mak takut pada Allah. Mak bukan seperti rakan sebaya mak yang lain. Mak, seperti kakak.." Mak memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya.

"Dulu bila di sekolah, mak pelajar pertama yang bertudung. Mak membawa imej agama. Kawan-kawan dan cikgu-cikgu panggil mak dengan gelaran mak Aji. Sebab zaman tu hujung 70-an dan awal 80-an tak ramai lagi yang bertudung betul menutup auratnya. Zaman tudung nipis dan nampak jambul. Kemudian kawan-kawan mak sikit-sikit ikut bertudung. Akhirnya kami semua dipanggil di perhimpunan. Kami dimarah guru besar kerana bertudung sedangkan ustazah kami bertudung tapi nampak jambulnya.." emak melemparkan pandangan ke lantai.

"Selepas itu ustazah jumpa kami secara persendirian. Ustazah kata dia tak mampu nak pakai seperti kami. Dia suruh kami teruskan.." sambung emak.

Ada getar di hujung suara emak. Kisah silam perjuangan emak di sekolah dahulu sikit-sikit emak ceritakan pada saya. Itulah juga salah satu inspirasi kepada saya untuk bangkit semula setiap kali terjatuh ketika berjuang di sekolah dulu.

"Mungkin kerana personaliti mak, mak menjadi tempat rujukan kawan-kawan mak. Jadi, bila mak nak ambil sesuatu tindakan, mak kena fikir betul-betul sama ada tindakan mak tu akan menyebabkan Allah marah atau tidak. Mak ayah berdosa tak? Dan maruah pembawa agama terjejas tak? Kalau mak membalas cinta si lelaki tadi, bermakna mak sedang menconteng arang di muka-muka pembawa-pembawa agama. Orang akan pandang serong terhadap orang yang bertudung sedangkan kesilapan tu hanya seorang dua yang buat. Besar fitnah akan timbul apabila orang-orang agama mengambil ringan batas syariat duhai anak.." mak menelan air liurnya.

Saya diam. Fikiran saya sedang cuba memahami maksud mak saya.

"Jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada sesuatu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni. Tetapi kita kena ingat. Kita tak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai. Bercouple mungkin. Tetapi bukan berkahwin. Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali. Dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah emak.

Emak meneruskan, "Allah itu Maha Adil. Dia tak pernah menzalimi hamba-Nya. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hamba-Nya ialah diri hamba tu sendiri. Sebabnya hamba itu degil. Dia mahukan yang bukan haknya dan yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya.

Dalam Islam, kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Orang kafir kata batas-batas ini suatu diskriminasi, tetapi sebenarnya batas-batas syariat itulah yang memelihara kehormatan seorang lelaki dan seorang perempuan.

Cuba renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain. Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara kita dan dia terputus. Kita dan dia sama-sama mencari redha Allah. Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah. Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya," emak berhenti seketika.

Tentu kering tekak emak menerangkan kepada saya persoalan hati ini.

"Jadi di sini mak nak kamu faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa. Dan berkahwin pun bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain. Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang. Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta kepada Pencipta dia. Kita beritahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia. Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuk mak ayah adalah kerana mencintai Allah. Dan apabila kita membenci seseorang atau sesuatu, beritahu pada diri sendiri berulangkali yang kita benci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata."

"Hati kita ni walaupun dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya. Hanya Allah yang boleh memegangnya. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah. Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana tentulah pegalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh,cacat dan dungu. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti."

"Walau siapapun jodoh yang Allah hantarkan untuk kamu, terimalah dengan hati yang redha. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kamu sayang, tak jadi hal lah. Tapi kalau dapat yang kamu tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kamu ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kamu sahaja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia. Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kamu sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kamu.. Alangkah bertuahnya kamu kalau kamu mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur," sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri.

Emak menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan emak sangat-sangat kuat. "Emak dah didik anak emak dari belum lahir untuk mencintai Allah. Sekarang emak serahkan anak emak yang mak sayang sangat ni pada Allah untuk Dia pelihara," emak mengakhiri kata-katanya dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya.

Saturday, 1 September 2012

Kadang-kadang


Kadang-kadang
Kita tak sedar kesilapan kita
Kita nampak kesilapan orang lain

Kadang-kadang
Kita tak sedar keburukan kita
Kita nampak keburukan orang lain

Kadang-kadang
Kita tak sedar kesalahan kita
Kita nampak kesalahan orang lain

Kadang-kadang
Kita terlalu mengharapkan yang sempurna
Tapi tak melihat akan diri sendiri
Adakah kita cukup sempurna

Kadang-kadang
Yang ada di depan mata adalah yang terbaik
Namun masih menidakkan dan mencari yang lain
Yang masih belum tentu pengakhirannya

Kadang-kadang
Kita perlu muhasabah diri sendiri
Sebelum melakukan perkara yang akhirnya
Akan disesali dikemudian hari

Wednesday, 29 August 2012

Istimewanya Dirimu


Setiap orang ada lapangannya yang tersendiri. Jika semua orang di dunia ni sama sahaja, pasti kehidupan terasa hambar, tiada warnanya. Bosan!

Maha AgungNya Allah SWT, diciptakan pelbagai variasi kelebihan buat orang yang berbeza-beza. Saling melengkapi, cukup mencukupi, menampung yang kurang dan menongkat yang pincang.

Ada orang yang pandai berkarya
Ada yang power berkata-kata
Ada yang macam atlas thaqafahnya
Ada yang tough muscle macam Hulk fizikalnya

Tapi..

Kalau semua orang berkarya, siapa yang nak baca karya yang terhasil?
Kalau semua orang power berkata-kata, mesti telinga kita sakit  mendengar debat di setiap penjuru yang ada.
Kalau semua orang macam atlas thiqahnya, apa perlunya perpustakaan? Peluang untuk meraih pahala dengan menyebarkan ilmu pun menghilang lantaran semua orang semakin pandai..
Kalau semua orang tough muscle macam Hulk, ramai pula yang mula tunjuk belang

Kita diciptakan oleh Tuhan. Dia Maha Mengatur, Maha Mentadbir. Setiap apa yang ada di bumi ini adalah di bawah pentadbiran Allah SWT hatta kita juga adalah sebahagian ciptaan-Nya yang melengkapi alam ini. Tidak salah merasa syukur dengan kelebihan yang Allah kurniakan. Yang salahnya merasa kehebatan diri melebihi rasa hebatnya pada Allah SWT sedangkan kelebihan itu DIA yang berikan.

Kamu rasa diri lemah, tak berguna?

Rasa lemah dan tidak pandai Matematik? Mungkin kamu pandai sastera.
Tidak cukup power berkata-kata? Mungkin kamu tajam akalnya.
Tidak berani dan gemuruh berdepan ramai orang? Mungkin kamu berbakat ICT.
Lemah ingatan dan tidak kuat hafalan? Mungkin kamu expert memasak.

Marilah kita hargai diri diri sendiri, kita syukuri apa jua yang Allah kurniakan pada kita. Syukur atas segala nikmat samada kecil mahupun besar. Baik atau pun tidak. Senang atau sukar. Mungkin, ada nikmat pada diri sendiri yang kita anggap kecil umpamanya seperti tiada nilai di sisi manusia, namun hakikatnya sangat besar nilainya pada orang lain.

Pada pandangan mereka yang kekurangan,  mereka berkata..

"Alangkah bestnya kalau aku ada apa yang dia ada"

"Alangkah bertuahnya dia dengan kereta mewahnya"

"Beruntungnya dia, dapat melancong setiap tahun ke luar negara"

Kesimpulannya, usah tanamkan rasa lebih pada manusia. Apa jua yang ada pada manusia lain adalah pinjaman semata. Hakikatnya segalanya adalah milik Allah SWT. Jadilah manusia yang sentiasa bersifat perlukan qanaah dan merasa syukur ketika merasa cukup dan lebih dari manusia lainnya.

Jadilah diri anda sendiri, kerana diri anda adalah yang terbaik!

"Tapi, bagaimana?"

"Ucapkanlah Alhamdulillah..."

Bersyukurlah walau dengan yang sedikit. Pujilah Allah yang Maha Kaya. Hakikatnya kita memang tiada apa-apa, kita bukan siapa-siapa. Pandai, bodoh, glamer, isolated, mulia, hina... semuanya hanyalah 'wayang' di dunia fana ini. Semua orang memainkan wataknya. Semua orang sama asalnya. Hanya dipilih untuk beraksi sebaik mungkin. Anugerah pula diberikan buat mereka yang ikhlas. Mereka yang tetap teguh pada Islam dalam apa-apa jua keadaan. Insan rabbani berfirasat sufi.

Apa lah yang ada pada raut keangkuhan. Berjalan di mandala sebagai makhluk, tidak layak menandingi Sang Khaliq. Kalau sombong, tak kan ada siapa yang suka hatta Allah juga benci kepadanya. Berlagak sempurna pada 'barang' yang bukan miliknya.

Hidup ini adalah anugerah, hadiah oleh-Nya agar kita mengenal erti buat diri. Agar kita menyempurnakan misi tertentu yang disusun oleh Allah di aturan taqdir. Ketentuan setiap kita berbeza. Hadapilah ia sebagaimana yang kamu mahukan, asal tidak menyimpang dari laluan menuja redha Tuhan. Hiduplah dengan kehendakmu hatta 1 trilion tahun sekalipun, tanpa redha Allah..segalanya tidak bernilai sesaat sekalipun. Padang Mahsyar tiada kenal harga susah kerana perkara yang sia-sia. Hanya kala langkah berjalan di keredhaan Tuhan, barulah ia dijunjung penuh penghormatan.

Mari kembali di hening malam, bergalaskan jiwa hamba, hargai segala pemberian-Nya. Nyawa telah diberi percuma, dihiasi lagi dengan Iman dan Islam. Apa lagi yang lebih mahal dari anugerah ini?

Tenang Yang Dicari


Kata pujangga, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan diakhiri oleh tangisan. Maksudnya hidup ini penuh dengan masalah, kesukaran dan kepahitan. Lihatlah betapa seorang bayi dilahirkan ke dunia dengan tangisan, apabila dewasa nanti hidupnya akan dicelahi oleh tangisan dan akhirnya dia akan mati lalu dihantar ke kubur dengan tangisan juga.

Mereka yang pesimis dengan hidup sering mengatakan bahawa hidup hanyalah untuk menyelesaikan masalah (life is to solve problems). Sebaik selesai satu masalah, masalah baru akan menjelma. Tidak lebih daripada itu. Malah ada yang lebih pesimis lagi dengan mengatakan hidup hanyalah untuk menderita!

Itu bukan sikap seorang muslim. Jika kita mengutuk hidup bererti kita mengutuk Penciptanya (Allah). Sedangkan Allah tidak menjadikan hidup ini untuk menderita. Maha Suci Allah, Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.  Hakikatnya, kita diciptakan untuk menikmatinya dan kemudian pulang ke akhirat untuk merasai kenikmatan yang abadi. Tetapi kita mesti berjuang untuk itu. Jadi, hidup sebenarnya untuk berjuang, bukan untuk menderita. Berjuang untuk menikmati kebahagian yang sementara demi mencapai kebahagian yang abadi!

Hidup di dunia ini penting kerana adanya akhirat. Justeru, kita mesti memanfaatkan kehidupan di dunia sebagai jambatan kebahagiaan akhirat.  Hukama ada berpesan, dunia diciptakan untuk manusia, manusia dicipta untuk akhirat. Soalnya, bagaimana memanfaatkan kehidupan dunia ini untuk akhirat? Apakah yang perlu kita cari dan perjuangan dalam kehidupan yang sementara ini?

CARILAH HATI YANG SEJAHTERA

Dalam hidup yang sementara ini kita dituntut mencari hati yang sejahtera (qalbun salim). Inilah kualiti hidup yang perlu dicari dan dinikmati. Dan ini jugalah 'syurga dunia' sebelum syurga akhirat. Malangnya ramai yang pentingkan kuantiti harta berbanding kualiti jiwa. Siang malam, manusia bertungkus-lumus menumpuk harta tanpa memperdulikan kesucian jiwa. Rumah semakin besar tetapi jiwa semakin sempit. Harta semakin melimpah tetapi hati semakin sakit.

Kualiti jiwa yang rendah menyebabkan timbulnya sifat mazmumah. Ini akan menimbulkan masalah kepada pemiliknya dan orang lain. Sifat marah, dendam, sombong, iri hati, hasad dengki dan sebagainya membunuh ketenangan dalam diri. Ini menyebabkan penyakit-penyakit lahiriah seperti darah tinggi, lemah jantung, ulser, kanser, diabetes dan lain-lain. Hubungan antara kesihatan hati (psikologi) dengan fisiologi ini telah lama diakui oleh pakar-pakar perubatan.

Tanpa ketenangan tidak ada gunanya kesenangan. Harta, wang, kuasa dan pangkat tidak boleh ditukar ganti dengan ketenangan jiwa. Sebaliknya kekurangan harta, rendahnya jawatan atau pangkat, dapat ditampung oleh ketenangan jiwa.

Orang miskin yang sabar masih boleh menikmati kehidupan yang tidak boleh dinikmati oleh orang kaya yang ego. Sebaliknya, tanpa sifat qanaah, sihartawan sekalipun akan terus tersiksa oleh kemiskinan jiwanya. Itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw melalui sabdanya bahawa kaya sebenar ialah kayanya jiwa.

IMAN MAMPU MENAMPUNG KEKURANGAN

Ada enam perkara yang sangat penting dan kritikal dalam kehidupan manusia. Jika keenam-enam perkara itu stabil maka stabillah seluruh kehidupan. Perkara-perkara itu adalah kesihatan, kewangan, kerjaya, ilmu pengetahuan, perhubungan dan kekeluargaan. Jika semua perkara itu dapat dicapai dan berada dalam keadaan stabil, maka kehidupan juga akan stabil.

Sungguhpun begitu, dalam realiti kehidupan adalah sangat sukar untuk mencapai kestabilan dalam semua perkara itu. Jarang benar ada orang yang dapat mencapai semuanya.  Ada yang kaya tetapi kesihatan terganggu. Ada pula kesihatannya baik tetapi ada masalah dengan perhubungan sesama anggota masyarakat.

Begitulah lumrah dunia, tidak ada seorang manusia pun yang memiliki segala-galanya. Jika demikian, apakah jalan keluar kita untuk mencapai kestabilan dalam hidup? Jawabnya, kuatkanlah iman. Ini kerana iman akan dapat menampung kekurangan dalam perkara-perkara yang lain. Jika seorang itu miskin, sakit, berpangkat rendah dan lain-lain kekurangan maka iman akan menampung kekurangan-kekurangan itu dengan sifat sabar, redha, qanaah, lapang dada dan tawakal.

Namun, tanpa iman segala kelebihan yang dimiliki akan tidak berguna. Tanpa iman, sikaya akan tamak dan tidak akan merasa cukup dengan kekayaannya, yang berkuasa akan menindas dan menzalimi, yang sihat akan lupa diri dan membuat kejahatan, yang banyak ilmu akan angkuh dan menghina orang lain.

Semua ini akan mengundang kebencian, ketidak puas hatian, kemarahan, kedengkian sesama manusia yang akhirnya akan menimbulkan krisis antara yang simiskin dengan yang sikaya, yang berkuasa dengan rakyat jelata, buruh dengan majikan dan lain-lain. Tegasnya, kualiti jiwa yang rendah (tanpa iman) itulah yang mencetuskan kemusnahan dalam hidup manusia. Dan untuk mengatasinya, tidak ada jalan lain kecuali dengan meningkatkan kualiti hati!

KUALITI HATI

Mengapa soal hati sangat penting? Hati adalah kuasa penggerak di dalam diri manusia. Jika hati dikuasai kebenaran, nescaya ia menjana kebaikan. Sebaliknya jika hati dipenuhi kebatilan, ia akan melahirkan kejahatan. Hati yang dipenuhi kebaikan dan kebenaran adalah hati yang berkualiti. Ia mampu menghadapi apa juga cabaran atau masalah dalam hidup. Manakala hati yang dikuasai kejahatan dan kebatilan, adalah hati yang lemah. Ia akan goyah menghadapi masalah dan cabaran dalam hidup.

Bila hati tidak berkualiti, segala yang dilihat, difikir, dirasa dan dibuat serba tidak kena dan tidak puas. Yang kaya, berkuasa dan ternama akan terus memburu kekayaan, keseronokan dan hiburan sehingga sanggup menempuh jalan yang salah untuk mencapai maksud yang tidak pernah puas. Mereka ini umpama meminum air laut, makin diminum semakin haus. Atau memburu fata morgana – bahang yang sangat panas disangka air.

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan "membaca" kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli).



إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللّهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: ""Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita."" Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Allah menjadikan seruan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
(Surah At-Taubah 9:  Ayat ke 40)






Cetusan rasa: Sahabat...


 
"Sekali kita bersahabat, syurga adalah pelabuhannya....."

Dari Abu Musa al-Asy’ari ra., Rasulullah saw bersabda:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (al-Bukhari)

Bahagiakah aku...


       

Setiap manusia pasti mempunyai cita-cita. Kerana dengan cita-cita maka dikatakan dia mempunyai matlamat hidup. Jika ditanya, “apakah cita-cita anda?” Sudah tentu ada yang menjawab, “saya ingin menjadi doktor, saya ingin menjadi peguam, saya ingin menjadi pegawai bank.” Tidak kurang juga jawapan seperti: saya ingin menjadi orang kaya, jutawan atau hartawan dan berbagai-bagai jawapan lagi yang boleh didengari. Semuanya matlamat atau halatuju adalah untuk mendapatkan kebahagiaan.

Pernahkah kita mendengar jawapan, “saya ingin hidup susah, saya mahu habiskan kehidupan ini dalam penderitaan. Tidak sekali-kali. Jika ada pasti ada yang tidak kena dengan ‘mereka’ yang berkata begitu. Sebaliknya semuanya manusia yang waras mahukan kebahagiaan.

Jika ditanya kepada nelayan yang mengharungi lautan, petani yang membanting tulang di tengah bendang, pemandu-pemandu lori yang membelah kedinginan malam. Para pelajar yang bersengkang mata berjaga malam, ahli-ahli korporat yang bertungkus lumus menjayakan projek tanpa letih, pentadbir-pentadbir yang siang malam bermesyuarat demi mesyuarat untuk mencari kemajuan tanpa puas. Apakah tujuan mereka? Pasti untuk mencari bahagia.

Walaupun ada manusia yang tidak faham apakah itu bahagia tetapi mereka tetap mencarinya. Ada yang rasa bahagia sekiranya tercapai segala hasrat. Ada yang merasakan bahagia sekiranya mendapat rumah walaupun kecil, tetapi setelah mendapatnya adakah mereka merasa bahagia, belum tentu. Lalu dicari yang lebih besar, setelah mendapat rumah yang besar, adakah mereka bahagia. Belum pasti. Maka dicari pula istana. Adakah penghuni istana bahagia? Bahagiakah mereka? Tidur lenakah mereka setiap malam? Belum tentu. Bahkan mungkin semakin bertambah banyak masalah. Rupa-rupanya ada rumah kecil, ada rumah besar, ada istana, bahkan ada tiga, empat, lima istana belum tentu kebahagiaan itu dapat kita miliki. Demikianlah seterusnya kehidupan kita. Dimanakah letaknya kebahagiaan? Bagaimanakah mahu menggapai bahagia yang diidam-idamkan?

Firman Allah SWT:


“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenteram hatinya dengan mengingati Allah. Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati.” (ar-Ra`d: 28).

Ketenangan hati itulah sumber kebahagiaan. Inilah yang dicari-cari oleh setiap orang, walau dimana berada, detik dan ketika. Bukannya pada rumah besar, harta yang bertumpuk, pangkat dan gelaran yang dimiliki. Tetapi kebahagiaan yang hakiki ini bukanlah mudah ditemukan. Semakin dicari semakin jauh, semakin kita mendekat semakin ia menjarak. Jika kita bertemu dan memilikinya pun ia mudah hilang melainkan jika diurus supaya beroperasi dan sentiasa berhubungan dengan Allah SWT.