Saturday, 15 September 2012

Jangan Berputus Asa


"Ah!! Tensionnya!"

"Banyaknya masalah"

"Ada tak orang yang hidup tiada masalah?"

Satu demi satu persoalan mengetuk gegendang telinga saya, jika persoalan-persoalan itu mampu memberi kesan kepada gegendang telinga, pastinya gegendang telinga saya sudah berlubang sekarang! :)

Adakah manusia yang tidak punya masalah?

Bertanya persoalan yang seperti itu, seolah-olah kita bertanya:  Adakah manusia hidup yang tidak bernafas?

Benar. Masalah sudah amat sinonim dengan diri seorang insan kerdil lagi hina bergelar manusia. Sedangkan Nabi dan para sahabat juga dicubit sayang oleh Allah, inikan pula kita manusia biasa...

Persoalannya bukan adakah manusia yang tidak ada masalah tapi lebih kepada bagaimana kita menghadapi permasalahan yang ada.

Jika kita cuba lari dari masalah percayalah masalah itu tidak akan pergi.

Berhadapanlah dengannya.

"Sebenarnya... Hidup bila tidak ada masalah jadi mendatar, jadi tidak ada kenangan yang hendak dikenang.. Jadi hambar." Sahabat yang saya kasihi melontarkan nasihat.

"Tapi kan bila ada masalah jadi susah hati, jadi sedih..." Saya menyambung.

"Memanglah, mana ada orang ada masalah suka hati je..."

Saya ketawa. Benar, masalah itu menjadikan hati menjadi murung tapi di sebalik kemurungan itu akan terselit pula kebahagiaan.

Apabila masalah itu telah selesai, percayalah kita pasti mampu tersenyum malah tertawa sewaktu mengenangkannya.

Maka,jangan sesekati berkata: "Oh Allah! Aku ada masalah yang besar!" Tapi berkatalah:

"Oh Masalah,  Aku ada Allah yang Maha Besar!"

Allah Pasti Akan Membantu

"Macam mana ni..." Matanya berair, berserta esakan yang perlahan. Hujung tudungnya diambil sedikit buat mengesat air mata yang kian mengalir. Saya gusar. Melihatnya mengalirkan air mata membuat saya tidak keruan.

"Sabar..Sabar.."

Sergahan ustaz tentang hafazan kami membuatkan hati sahabat-sahabat sekelas menjadi kecut. Ah, takut ujian yang diberi tak dapat dijawab dengan baik, takut hafazan tersekat di tengah-tengah.

Memandang sahabat yang sedang menangis itu, entah kenapa secara tiba-tiba saya berasa sedikit tenang, seolah-olah terdengar-dengar janji Allah ;

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa," (Al-Hajj :22)

"Ok, cepat cepat!" Ustaz memanggil.

Sahabat saya nan satu itu ke hadapan, bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Beberapa minit berlalu....

Surah An-Naba' dan An-Naziat berjaya dilepasi.

Berjaya pula dia mendapat 10/10.

Oh Allah, betapa Engkau tidak pernah mengecewakan hambaMu yang berusaha!

Jangan berputus asa

"Saya rasa masalah saya ni dah tak ada jalan penyelesaian dah. Buntu."

Ingatkah kita pada firmanNya ;

"jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf : 87)

Jangan sesekali berputus asa. Masakan Allah menimpakan ujian dengan sia-sia, masakan Allah sengaja membuat kita sakit dan bersedih.

Sedangkan setiap penyakit itu ada ubatnya melainkan mati, masakan masalah yang kita hadapi langsung tidak punya jalan penyelesaian.

"Saya dah puas cuba macam-macam, tapi...tapi..begini juga."

Nah, lihat kembali dalam diri.. Segala keputusan yang diambil, adakah dikembalikan kepada Allah. Maksud saya, adakah kita redha, adakah segala keputusan dan tindakan yang kita ambil kita bertawakal kepada Allah atau kita merasa yakin dengan diri kita sendiri?

Hakikatnya...Allah timpakan ujian agar kita memuhasabah diri. Allah beri sakit untuk kita menghapus dosa, Allah beri kesusahan agar kita kembali padaNya.

Jika kita menyombong diri...termasuklah kita dalam kalangan orang yang rugi.

Jika kita tidak kembali pada Allah... Terbengkalailah masalah kita dengan seribu persoalan.

Kembalilah... Allah menantimu.

Berusaha dan kemudian serahkan urusanmu pada Allah.

Sungguh, Dia lebih Mengetahui!

Bangunlah, Bangkitlah, Berdirilah..Walau kamu terasa payah, walau kamu terasa seksa.. Kerana hakikatnya Allah akan membantumu. Pasti! Jangan diragui.

Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. (Al-Imran : 159)

Kuatkan semangat, anda bukan keseorangan


Dalam hidup ini kita selalu dihidangkan dengan cabaran dan dugaan, kadangkala kita akan mudah kecewa dengan apa yang berlaku keatas kita. Kerap kali kita bersungguhan melakukan sesuatu tetapi kerap juga kita dikecewakan oleh sebilangan mereka yang rakus dan tidak berperikemanusiaan.

Tren masa kini ada segelintir dan semakin bertambah bilangannya yang hanya suka mengambil kesempatan atas kebaikan dan kejujuran orang lain. Hal ini kerana melalui orang yang ikhlas ini sahaja segala percaturan dapat dilakukan dengan mudah sekali.

Golongan ini gemar menyalahkan orang lain sedangkan tidak sedar bahawa diri sedang menggunakan mekanisma bela diri untuk menyelamatkan maruah dan kelemahan sendiri. Perbuatan ini menggambarkan golongan ini tidak sedar diri sedang dipengaruhi oleh perasaan sendiri dan mengambil kesempatan daripada kejujuran orang lain merupakan sesuatu tindakan yang memalukan dan menghinakan.

Bagi mereka yang kerap berhadapan dengan situasi ini, tidak perlu untuk bersedih kerana hakikat kita bukan keseorangan. Sebenarnya ada masanya orang yang menganiaya anda itu akan menerima akibatnya. Hal ini kerana perbuatan itu sebenarnya melatih diri golongan itu supaya sentiasa menafikan diri sendiri, menafikan kelemahan diri sendiri. Jika berlarutan kemungkinan orang itu boleh kehilangan identiti dan dirinya akan mundur serta tiada peningkatan kendiri. Hal ini boleh merugikan golongan itu sendiri. Lambat laun ia akan memakan diri hanya masa yang menentukan.

Anda bukan keseorangan, kerana walaupun tiada sesiapa yang berada untuk mendengar kekecewaan anda. Tetapi ingatlah bahawa yang maha kuasa sentiasa memerhatikan, yang pasti setiap kejahatan akan singgah sebagai balasan.

Sunday, 9 September 2012

Mustahilkah Untuk Melakukan Perubahan?


Mustahilkah? Susahkah? Pasti jawapannya tidak mustahil.
Tetapi bukankah perubahan itu ada dua jenis iaitu perubahan positif atau perubahan negatif (nauzubillah).
Tiba-tiba terfikir satu persoalan.
Mengapakah untuk melakukan perubahan yang positif itu lebih susah berbanding perubahan ke arah yang lebih negatif?
Adakah kerana diri ini lemah? Lemah untuk melawan godaan syaitan?

"Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka bahwa mereka mendapat petunjuk" - Surah Az-Zukhruf 43 : 37

"Dan janganlah kamu sekali-kali dipalingkan oleh syaitan sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu" - Surah Az-Zukhruf 43 : 62

Tarik nafas dalam-dalam. Ambil masa, fikir sejenak.
Yang mana lebih kita kejarkan? Perubahan yang lebih bagus atau yang sebaliknya?
Pastinya yang lebih baik.
Tetapi tidak dapat untuk kita nafikan untuk melakukan perubahan kearah kebaikan ini, jalannya dihiasi dengan ranjau yang penuh berduri, halangan, ejekan, ujian, dan semua ini adalah dugaan.
Kadang-kadang untuk berubah ini penuh dengan bisikan dan desas-desus manusia:
"Eh, kenapa A pakai tudung sekarang ini, bukankah dahulu dia seorang minah rempit, ini mesti tak lama nie!"
"Alhamdulillah, A dah mula berubah insya Allah sentiasa dirahmatinya"
Hendaklah kita sematkan dalam pemikiran kita, janganlah sesekali kita terpengaruh dengan kata-kata negatif terhadap diri kita, kerana andai kata kita terpengaruh dengan kata-kata tersebut, pasti berat kaki ini untuk melangkah ke alam baru, berat lagi hati ini untuk melakukannya.
Percayalah, kita lebih mengenali diri kita dari orang-orang lain, dan Allah lebih mengenali kita dari diri sendiri.
Tidaklah semua perkara itu manis untuk menuju ke syurga, kerana pasti Allah selitkan sedikit ujian untuk kita, bagi menguji diri ini.

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman”, dan mereka tidak diuji?" - Surah Al-Ankabut 29:2

Apakah definisi perubahan sebenar dalam diri kita? Adakah hanya dari segi fizikal atau hati nurani? Yang mana akan datang dulu?
Sebenarnya, yang mana datang dahulu itu tidak penting, kerana yang lagi penting adalah hasilnya.
Andai kita rasa, perubahan fizikal seperti melabuhkan tudung dan pakaian itu lebih mudah, maka lakukan itu dahulu, kemudian kita melatih hati ini satu persatu, andai kita merasakan hati ini lagi senang untuk dilatih, maka latihlah ia dahulu.
Kerana perubahan itu datangnya dari hati yang ikhlas, yang tulus. Insya Allah.
Mari mulakan langkah kita bersama, kerana pintu taubat itu sentiasa terbuka.
Manusia sentiasa perlukan perubahan kerana iman kita naik dan turun. Jangan biar jalan kita dihiasi dengan futur.

7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi


Malas, lemah, penat, longlai adalah resam jika anda bukanlah berniat dengan penuh kesungguhan dan bersemangat untuk menikmati kebahagiaan di pagi hari.

Waktu pagi adalah ujian untuk anda, pagi adalah nikmat untuk anda, pagi adalah penentu arah kejayaan dan kegagalan dalam hidup anda.

Justeru itu adakah kita mahu mensia-siakannya?

Ayuh sahabat, bangkitlah! Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah:

Bersyukur, bersyukur, bersyukur
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

Tekad Bermotivasi
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Motivations Of Life


The most difficult person to FACE in life is yourself.

A GRATEFUL heart is the cure for loneliness.

Do not judge the FUTURE by the past.

Never stop reaching for the GOAL in front.

Hold on to your BELIEF, then you will overcome difficulties.

TRIVIALITIES can accumulate to an important episode.

Kind DEEDS can bring good returns.

DREAM is our motivation in life.

WISDOM is to understand that the world is ever-changing.

SINCERITY is a natural spring of water.

Danger brings us TRUE friends.

SMILE is the first step of a new life.

So, go on with your life with a new spirit.

Everyday is a new day.

Saturday, 8 September 2012

Mengapa Tidak Percaya Sebelum Berjaya?


Sekali sekala, perasaan untuk mengubah diri muncul di celah-celah lamunan. Rasa ingin berubah sama ada daripada segi mental seperti memajukan diri di dalam bidang akademik, membuatkan kita berasa ingin masuk kolej semula. Inspirasi untuk berubah daripada segi material seperti ingin memperoleh kenaikan pangkat atau pendapatan tinggi juga akan menjadikan kita lebih rajin bekerja. Begitu juga, bila keinginan untuk berubah daripada segi spiritual muncul, kita menyimpan iltizam agar diri kita bertukar daripada seseorang yang pemarah kepada seseorang yang penyabar.

Mungkin kita pernah menemui Albert, kawan sekolah yang kita gelar si kepala samseng dahulu, rupa-rupanya sudah menjadi jutawan. Atau terpandang Azman yang dahulunya kaki ponteng di sekolah, kini muncul sebagai seorang motivator di kaca TV. Ataupun, Ee Mei, yang dikenali begitu pemalu di sekolah kini sudah menjadi seorang ahli politik yang begitu petah berucap di Parlimen.

Kejayaan-kejayaan sebilangan daripada mereka di sekeliling kita ini kadangkalanya tidak terjangkau oleh pemikiran kita. Bila mengingati diri mereka yang dahulunya kita kenal sebagai jahat, culas mahupun pemalu, kita tidak menyangka mereka telah berubah menjadi lebih baik, rajin mahupun petah.

Apabila kita merenung ke dalam diri, kita mungkin terasa mengapakah mereka yang toya di zaman persekolahan dahulu kini sudah menyerlah lebih hebat daripada kita sendiri. Mereka yang di zaman persekolahan dahulu menyanjung atau menghormati kita kerana lebih handal daripada mereka, kini telah mendahului kita dalam maraton kehidupan.

Ke manakah langkah yang hendak dibawa dan selaju manakah larian hendak dicuba bila melihat teman-teman sudah jauh lebih hebat daripada kita? Yang pasti, kita tahu yang kita lebih handal daripada mereka dahulu, tetapi mengapa kini sebaliknya? Roda kehidupan yang berputar mengajar kita apa itu realiti. Justeru, bagaimanakah kita boleh mengutip kekuatan-kekuatan diri yang tercicir di sepanjang lorong kehidupan?

Sebelum memulakan langkah, kita harus menyedari bahawa selama ini kita hanya percayakan sesuatu apabila telah berjaya menggapainya. Sikap inilah yang menjadikan kita terhenti-henti meranduk arus kehidupan. Ibarat berundur setapak setiap kali menapak dua langkah ke hadapan. Puncanya ialah kerana kita tidak percaya sebelum berjaya mencapai sesuatu.

Di zaman persekolahan dahulu, kita berasa alangkah sukarnya untuk lulus PMR kerana terpaksa menghafal matapelajaran untuk tiga tahun iaitu daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga. Kebolehan mengasah pensel dengan pengorek pun harus diketepikan kerana kita perlu belajar mengasah pensel menggunakan pisau agar lorekan di kotak-kotak jawapan objektif dapat dilakukan dengan kemas. Akhirnya kita melangkah ke dewan peperiksaan dengan seribu kegusaran.

Namun, setelah keputusan PMR diumumkan, kita yang tidak begitu rajin, dapat juga kelulusan yang baik, setanding dengan teman-teman lain. Ketika itu, baru kita percaya yang rupa-rupanya kita sepandai rakan-rakan sekelas. Menjelang peperiksaan SPM pun, minda kita memahat perasaan bahawa peperiksaan SPM itu sukar. Namun setelah keputusan peperiksaan diumumkan, kita berjaya juga. Untuk kali kedua di dalam hidup, kita percaya setelah berjaya.

Merentasi kehidupan, kita lalui pelbagai kejayaan yang lain. Mendapat ijazah di universiti, kemudian berkasih dan akhirnya melangkah ke jinjang pelamin adalah di antara kejayaan hidup yang dilalui bagai mimpi. Kita hanya tersedar bahawa ia benar-benar terjadi hanya setelah kita berjaya mengharunginya.

Bagi kaum wanita, kemampuan mengandung dan melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar dipercayai sehinggalah suara bayi sendiri nyaring mengetuk ke gegendang telinga. Bagi kaum lelaki, kejayaan menjadi ayah hanya dimengerti setelah melihat senyuman si kecil.

Jelas sekali, sikap percaya setelah berjaya, sudah kita lalui berkali-kali dalam kehidupan. Apabila kita melalui pola ini secara berkali-kali, mengapa tidak kita ubah pola pemikiran untuk cuba percaya sebelum berjaya? Samada kejayaan itu berbentuk material, emosional mahupun spiritual, sedarilah, seandainya berjuta-juta insan yang lain telah lalui apa yang kita bakal harungi, hampir mustahil kita pula yang akan gagal.

Ada perbezaan di antara mereka yang percaya setelah berjaya atau mereka yang percaya sebelum berjaya. Yang pertama hanya melahirkan manusia tidak apa-apa. Yang kedua melahirkan manusia yang apa-apa.

Salahkah Wanita Tak Tahu Memasak?


Kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Kalau lelaki tak boleh jadi imam kita kata okay saja.

Jangan diperbesarkan nanti mereka terasa hati.

"Apalah perempuan, tak pandai masak siapa nak kahwin dengan awak!" Begitulah kata rakan sejawat lelaki pada seorang anak dara, juga rakan sejawat kami.

Maka jawaplah si gadis ayu itu yang dia tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja.

Setelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya.

''Habis sekarang kenapa tidak belajar?" Tanya sang lelaki lagi dengan penuh semangat.

''Sedang belajarlah ni tetapi selain sibuk dengan kerjaya saya juga sibuk belajar agama, jadi belajar memasak tetap tidak diutamakan!" Begitu jawab si gadis yang membuatkan lelaki tadi menggeleng-geleng kepala.

Baginya tidak sempurna seorang wanita jika tidak tahu memasak. Wanita sepatutnya buat begitu juga.

Syarat utama menjadi suami mesti boleh menjadi imam.

Walau ada yang kata, jika itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup.

Lelaki meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai.

Tidak kiralah jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya.

Sekarang bukan asing lagi gaji isteri lebih tinggi daripada suami.

Namun kedudukan suami sebagai raja tidak pernah dilupa walau dia tidak mengambil inisiatif mempelajari ilmu menjadi imam.

Ilmu bermain video game di komputer mereka rasa lebih perlu.

Kalau tidak tahu memasak disuruh belajar dan sesudah belajar perlu handal.

Jika handal bukan setakat masak untuk keluarga sendiri, kalau boleh perlu boleh memasak untuk tiga pasukan bola. Begitulah standard yang telah ditetapkan.

Bolehkah kita meletakkan undang-undang itu kepada lelaki juga? Kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah.

Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, sudah terror boleh mengimam satu taman perumahan juga.

"Sibuk suruh kita handal memasak, mereka tu bolehkah jadi imam?" Dengus teman wanita yang lain.

Betul juga ya? Berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya?

Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawab tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal.

Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri.

Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam.

Isu ini sepatutnya kita beratkan sepertimana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami.

Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa 'queen control'.

Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apa salahnya lelaki!